"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Cabul lelaki, hukuman penjara Ustaz Budak kekal

Bernama
Syamsul Zaman Sukri sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu atas tuduhan melakukan kelucahan melampau dan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel, tiga tahun lalu. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU: Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 13 bulan terhadap mudir sebuah madrasah di Machang atas pertuduhan melakukan kelucahan melampau dan mencabul seorang lelaki di sebuah hotel, tiga tahun lalu.

Hakim Mohamad Abazafree Mohd Abbas membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Syamsul Zaman Sukri, 35, atas alasan semua tujuh isu yang dibangkitkan perayu tidak boleh diterima.

“Mahkamah Tinggi mendapati hukuman dan sabitan daripada Mahkamah Majistret pada 9 Mac lalu adalah tepat dan memadai berdasarkan kepada alasan penghakiman dan nota keterangan.

“Oleh itu, mahkamah memutuskan sabitan dan hukuman dikekalkan iaitu perayu perlu menjalani hukuman penjara selama 13 bulan bermula hari ini,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Syamsul Zaman didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah hotel di sini, kira-kira 1.15 pagi, 16 Dis 2020.

Dia dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad ‘Adha’ Amir Yasser Amri.

Tiada ulasan: