"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Dua bekas pegawai didakwa, MB Kedah tidak lagi boleh membungkam'

B Nantha Kumar

PKR hari ini mempersoalkan sikap membungkam Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor susulan tindakan mahkamah yang mendakwa dua bekas pegawainyaberkaitan usaha sama perlombongan unsur nadir bumi (REE) di negeri itu.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata pendirian Sanusi penting selepas pemimpin PAS itu sebelum ini menafikan dia menyalahgunakan jawatannya selaku menteri besar dan pengerusi Menteri Besar Diperbadankan (MBI) berkaitan usaha sama perlombongan unsur nadir bumi (REE) atau terlibat dalam kecurian REE.

"Sejak awal Sanusi menafikan penglibatan dalam perlombongan REE. Kini dua pegawai memegang jawatan penting di bawah pentadbiran beliau dituduh di mahkamah atas kesalahan meminta dan menerima rasuah.

"Jadi, kita nak lihat apakah pendirian Sanusi. Soalannya, adakah beliau mengetahui kegiatan dua pegawai itu.

"Sekiranya dia tidak mengetahui tindak tanduk dua pegawai beliau, maka itu menunjukkan Sanusi tidak cekap dalam soal pentadbiran," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, bekas setiausaha politik Sanusi, Mohamad Hilmi Abdul Wahab, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan meminta dan menerima suapan berkaitan projek perlombongan REE di sekitar negeri itu pada Julai lepas.

Mohamad Hilmi, 50, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Suzana Hussin.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamad Hilmi didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM250,000 daripada Pengarah Syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd, Liana Mamat @ Khalid, 40, melalui Syed Muhammad Syid Aluvi, 34.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh - yang ketika itu adalah setiausaha politik kepada Sanusi - membantu syarikat berkenaan mendapat kelulusan permohonan lesen perlombongan dan lesen penjelajahan REE di sekitar Kedah.

Sementara, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MBI Kedah Muhamad Sobri Osman, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, semalam terhadap dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada Mei lepas.

Dia membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rohatul Akmal Abdullah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang tunai berjumlah RM4 juta daripada John Abad Pe sebagai dorongan untuk membantu syarikat Kumpulan Perlombongan REE Sdn Bhd menjalankan usaha sama perlombongan REE di Kedah melalui satu memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat itu dengan MBI Kedah.

Untuk rekod, Setiausaha Agung Saifuddin Nasution sebelum ini berkata ketidakcekapan Sanusi dalam mentadbir urus kerajaan negeri Kedah adalah sebab berlakunya kecurian REE.

Saifuddin berkata sebagai individu yang memimpin kerajaan negeri, Sanusi sudah pasti diberikan taklimat dari semasa ke semasa berkaitan sebarang aktiviti melibatkan agensi di bawah kerajaan negeri sama ada dalam mesyuarat exco ataupun semasa sidang Dewan Undangan Negeri.

Tiada ulasan: