"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi duduk di kementerian yang salah, rating Anwar jatuh - Penganalisis

Hasimi Muhamad

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli didakwa gagal menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya untuk memperkukuhkan ekonomi negara sehingga mengakibatkan rating penerimaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jatuh selepas setahun pentadbiran beliau.

Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan, berdasarkan tinjauan Merdeka Center, kajian tersebut boleh menterjemahkan kegagalan menteri yang bertanggungjawab dalam ekonomi apabila rakyat tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan dalam pemulihan ekonomi.

"Selaku Menteri Ekonomi, Rafizi yang terkenal dengan pelbagai formula untuk menyelesaikan ekonomi negara sebelum ini telah meletakkan harapan dan tanggapan kepada rakyat bahawa beliau boleh melakukan magik untuk memulihkan ekonomi negara.

"Bagi saya Rafizi dari awal telah duduk di kementerian yang salah.

"Malah keputusan kerajaan memecahkan kementerian kepada tiga yang berkaitan dengan hal ehwal ekonomi juga terburu-buru iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya (UM) itu berkata, keputusan memecahkan kementerian juga menyebabkan tiada penyelarasan yang baik apabila dasar

polisi berkaitan ekonomi dikemudi tiga kementerian berbeza tetapi teras yang sama.

Justeru, Dr. Mohammad Tawfik menambah, rombakan Kabinet perlu disegerakan bagi menyusun semula Kabinet dan melantik menteri yang sesuai, berwibawa serta memahami denyut nadi rakyat.

Media sebelum ini melaporkan dapatan Merdeka Center mendedahkan bahawa hanya 31 peratus pengundi berpandangan negara pada hala tuju betul, manakala 60 peratus berpandangan hala tuju negara ke arah salah.

Badan pemikir itu menambah isu ekonomi menjadi kebimbangan utama pengundi, dengan 78 peratus menyatakan isu ekonomi menjadi perkara paling utama didepani rakyat hari ini.

Dalam tinjauan itu juga, rating Kerajaan Persekutuan ketika ini berada pada tahap 41 peratus, berbanding 54 peratus pada Disember lalu.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Perdana Menteri hari ini dilapor berkata laporan kaji selidik oleh Merdeka Center tidak mewakili suara keseluruhan 32 juta rakyat Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menambah keputusan diperoleh hanya dibuat berdasarkan pandangan daripada 1,200 responden.

Tiada ulasan: