"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selamatkan Syariah: Pas hipokrit buat ulang tayang pembohongan

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

‘Himpunan Selamatkan Syariah’ anjuran Pas kelmarin diibaratkan sebagai ulang tayang pembohongan parti itu ketika berhimpun di Padang Merbok enam tahun lalu untuk menuntut RUU355.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil mengkritik Pas sebagai hipokrit kerana himpunan tersebut diadakan semata-mata untuk menipu pemikiran orang Melayu Islam.

Hakikatnya kata beliau, isu seorang peguam bersama anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, sama sekali tidak melemahkan kuasa Mahkamah Syariah, mahupun melawan hukum tuhan

“Jadi apa yang dibuat oleh Pas dan Perikatan Nasional yang berhimpun adalah satu ulang tayang pembohongan yang dibuat Pas sebelum ini berkaitan dengan RUU355.

“Kerana ketika mereka berkuasa, mereka tidak meminda RUU355 dan tidak membuat apa-apa konsultansi atau MOU dengan Pakatan Harapan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membuka pintu kepada perlaksanaan enakmen Hudud.

“Sama seperti kes Nik Elin, cabaran perlembagaan ini dimulakan ketika PN menjadi sebahagian dari kerajaan iaitu pada 13 Oktober 2022. Tapi PN tidak membantah,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Tambah Faiz, apabila Pas menyalahkan kerajaan hari ini, ia seolah-olah menunjukkan sikap sebenar mereka yang sekiranya parti itu berkuasa, mereka akan mencampuri urusan kehakiman.

Pada semalam, Mahkamah Persekutuan menegaskan, isu dalam petisyen bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 bukan bertujuan memburukkan agama Islam mahupun melemahkan kedudukan Mahkamah Syariah seperti yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebaliknya berkata, petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman hanya semata-mata berkaitan isu kompetensi Kerajaan Negeri Kelantan dalam menggubal undang-undang syariah.

Sebelum ini seorang pemimpin Pas berkata pihaknya membantah petisyen difailkan Nik Elin selepas tidak menjadi kerajaan kerana ia kini ‘sudah jelas’ dan telah dibicarakan di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka sebelum ini tidak mengetahui tentang isu tersebut.

“Kami yang sebelum ini tak tahu pun. Isu dia sebenarnya semua pihak tidak tahu pun.

“Apa jelas (sekarang sedang) dibicarakan buat waktu ini,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: