"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Dzul mohon jutaan maaf pada Dewan Negara

N Faizal Ghazali

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad memohon maaf di Dewan Negara susulan peruntukan generasi penamat rokok (GEG) berkaitan rokok dan vape, yang digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

Baru sehari mengambil alih tugas ditinggalkan Zaliha Mustafa, ahli parlimen Kuala Selangor itu tampil membentangkan RUU itu untuk diluluskan di peringkat Dewan Negara, hari ini.

Dzulkefly mengakui wujudnya kerisauan dan kebimbangan awam susulan pengguguran peruntukan tersebut.

Namun dia memohon supaya semua pihak memahami dan menyokong langkah yang diambil kerajaan buat masa ini.

"Saya mohon jutaan maaf, kalau begitulah selayaknya saya mohon kepada semua dan saya membentangkannya dengan tidak mengurangkan kepentingan untuk semua ahli-ahli bersama meluluskan RUU ini.

"Kerana ia terlalu lama diusahakan, ramai menteri-menteri kesihatan yang mengharunginya, begitu juga dilihat oleh beberapa kabinet dan hari ini saya membentangkan kepada Dewan Negara dengan penuh harapan agar dia diberikan sokongan.

"Hari ini kita meneruskan usaha ini, saya membentangkan kepada ahli-ahli berhormat dengan harapan diberi sokongan meskipun kalau dalam kaedah syarak menyebut 'kalau kita tak dapat semua, janganlah tinggal semua'," katanya.

Zaliha Mustafa - bekas menteri kesihatan yang diberikan tugas baru sebagai menteri di JPM (Wilayah Persekutuan)
Dia turut mengakui dirinya sebenarnya penyokong kuat terhadap usaha mencari jalan penyelesaian kepada masalah penagihan nikotin dan barang-barang yang memudaratkan kesihatan.

Namun begitu ujarnya, kerajaan perlu ambil pendekatan menyeluruh dalam satu transformasi masyarakat dalam mengubah sikap serta tabiat dalam hal yang terkait dengan isu merokok dan ketagihan nikotin ini.

"GEG pastinya merupakan satu kaedah, jalan dan satu cara untuk kita mengurangkan peratusan merokok di negara kita daripada 21 peratus supaya diturunkan kepada paras serendah iaitu 5 peratus pada 2040.

"Apabila GEG itu tidak dimasukkan dalam RUU ini, maka boleh kita bayangkan betapa susahnya kita nak kurangkan peratusan merokok, kalau dengan ada GEG juga merupakan satu yang sukar, tambah-tambah lagi kalau peruntukan GEG tidak dimasukkan dalam RUU.

"Namun saya mahu menyebutkan bahawa dengan tidak adanya GEG itu kita telah berdepan satu kesulitan untuk mencapai KPI (indeks prestasi utama) itu ke tahap yang saya sebutkan tadi," kata Dzulkefly.

Katanya, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai kesihatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri yang mahu GEG diperuntukan dalam RUU ini.

Namun, katanya, ia tidak dapat dipenuhi selepas syor Pejabat Peguam Negara berikutan risiko mewujudkan ketidaksamarataan serta boleh dicabar di mahkamah.

Lalu katanya, lalu KKM berpandukan perbincangan secara kolektif melalui kabinet mengambil keputusan untuk tidak meneruskan elemen GEG.

"Namun saya perlu nyatakan ini adalah satu perjuangan, laluan yang pasti dari semasa ke sesama kita lalui dan akan diziarahi kembali dan sentiasa bercita-cita untuk melarang mereka yang lahir pada 1 Januari 2007 dan selepasnya, tidak akan diizinkan merokok atau vaping, atau akses kepada rokok atau vape selama hidup mereka.

"Kami sembilan ahli PSSC mengambil 14 pusingan mesyuarat, melibatkan tidak kurang 13 institusi pengajian tinggi awam dan swasta, melibatkan panel pakar, semua pemegang taruh termasuk pihak industri itu sendiri, NGO, serta kementerian-kementerian lain dan kita telah melibatkan (semua pihak) hampir tidak ada yang ketinggalan, untuk memberi kefahaman mengenai GEG untuk kita masukkan dalam RUU ini," jelas Dzulkefly.

Dia turut menegaskan, walaupun melalui sesi libat urus yang sengit, persaingan pandangan, perbalahan dan wacana, mereka akhirnya terpaksa akur.

"Saya  memohon, supaya ahli-ahli (Dewan Negara) memahami, walaupun kita tidak dapat memuatkan GEG dalam RUU ini, ketahuilah inilah yang pertama yang digubal sedemikian rupa buat kali pertama RUU ini sifatnya berdiri sendiri untuk mengawal selia segalanya berkait persoalan merokok dan vaping.

"Walaupun tak mengandungi GEG, perlu diketahui ia mengambil masa yang agak lama, sehingga ke saat ini saya sudah memimpin dan kembali masih lagi kita belum dapat belum meluluskannya," katanya.

Dua turut memberi kredit kepada bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam usaha membawa RUU berkenaan.

Tiada ulasan: