"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami didakwa rogol anak tiri, ibu mengaku subahat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang ibu mengaku salah di Mahkamah Sesyen Muar bersubahat dengan suaminya merogol anak kandungnya kononnya mahu merawat mangsa diganggu makhluk halus, dua tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, suri rumah berusia 41 tahun itu didakwa bersubahat dengan suaminya didakwa merogol mangsa yang juga anak tiri lelaki itu, ketika berusia 17 tahun, dalam bilik di rumah ibunya, 11.30 malam, pada 2021.

Menurut Berita Harian, wanita itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376B kanun sama dan mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Seksyen 109 memperuntukkan hukuman sama bagi kesalahan dikenakan sekiranya tiada peruntukan dinyatakan, manakala Seksyen 376B, penjara sehingga 30 tahun dan juga 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Suaminya pula didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana merogol anak tiri, tetapi tidak mengaku salah dengan semua kejadian dan masa berlaku di tempat sama.

Bagi Seksyen 376B pula, bapa tiri mangsa yang juga seorang buruh boleh dipenjara sehingga 30 tahun serta 10 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Serentak dengan itu, mahkamah menetapkan 30 Jan untuk menjatuhkan hukuman terhadap wanita itu, selain sebutan semula kes, serahan dokumen dan juga laporan perubatan berkaitan kes suaminya.

Mahkamah juga memutuskan reman terhadap kedua-dua tertuduh dilanjutkan mengikut Seksyen 259 Kanun Tatacara Jenayah.

Tiada ulasan: