"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu langgar empat beranak didenda RM6,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan cuai hingga melanggar empat beranak yang menunggang motosikal di Lebuhraya Besraya semalam.

Mohammad Harith Ismail, 22, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil, lapor Sinar Harian.

Fatin Dayana juga mengarahkan Harith yang bekerja sebagai pereka grafik dihukum penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara tidak cermat hingga melanggar mangas di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong pada jam 12.30 tengah hari, semalam.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 dan boleh juga dipenjarakan tidak melebihi 12 bulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Harvind memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kesalahan yang dilakukan membahayakan pengguna yang lain.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana dia tidak sengaja dan tidak arif dengan laluan tersebut.

“Saya bukan orang sini, jadi saya tidak arif dengan selok-belok jalan di lokasi kejadian. Saya juga tidak melarikan diri atau meninggalkan mangsa di situ, sebaliknya terus hantar mereka ke hospital bersama saksi,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial rakaman video kamera papan pemuka (dashcam) memaparkan motosikal dinaiki dua orang dewasa bersama dua kanak-kanak dihimpit sebuah kenderaan yang menukar lorong secara tiba-tiba.

Bagaimanapun, semua mangsa yang berusia lima hingga 34 tahun dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan.

Tiada ulasan: