"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelancong maut selepas hospital enggan beri rawatan, bimbang tidak mampu bayar bil

Utusanonline 
PETUGAS paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada pelancong, Andy Chen di kawasan tepi jalan di Bangkok.-AGENSI
BANGKOK: Seorang pelancong maut selepas sebuah hospital didakwa menolak untuk menerima kemasukannnya dan memberikan rawatan kepada pesakit itu gara-gara khuatir dia tidak mampu membayar kos perubatan yang tinggi di kemudahan berkenaan.

Menurut Metro.uk, Andy Chen, 41, terpisah daripada rombongan 18 pelancong lain pada 8 Disember lalu dan laporan orang hilang dibuat apabila dia tidak ditemui malam itu.

Pelancong Taiwan itu kemudian didapati parah akibat insiden langgar lari melibatkan seorang pemandu mabuk di kawasan jalan di Bangkok.

Paramedik sukarelawan berusaha memberikan rawatan kecemasan kepada Chen sebelum dia dikejarkan ke Hospital Vibraham berhampiran lokasi kejadian.

Tetapi menerusi satu video tular, penyelia jururawat didengari mengherdik dan memarahi paramedik berkenaan kerana membawa mangsa ke hospital berkenaan.

“Kami sudah memberitahu kami tidak menerima pesakit, jadi mengapa kamu membawanya ke sini?

“Dia warga asing, tidak mempunyai saudara mara, kita tidak tahu bagaimana untuk mendapatkan bayaran balik bil perubatannya. Kenapa tak bawa dia ke hospital awam berdekatan? ” kata jururawat itu.

Selepas ditolak jururawat tersebut, paramedik berkenaan terpaksa membawa Chen ke hospital kerajaan sejauh 10 kilometer tetapi mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas ambulan yang membawanya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Ekoran kejadian itu, Hospital Vibraham kini disiasat oleh pihak berkuasa kerana dikesan turut menolak beberapa pesakit lain sebelum itu.

Ketua Pengarah Jabatan Sokongan Perkhidmatan Kesihatan, Dr. Sura Wisetsak berkata, pesakit yang tidak sedarkan diri layak menerima rawatan di mana-mana hospital.

“Kakitangan hospital yang didapati bersalah kerana enggan memberikan rawatan kecemasan kepada pesakit dalam bahaya boleh berdepan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda sehingga 40,000 baht (RM5,352) atau kedua-duanya sekali,” tegasnya.

Tiada ulasan: