"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen meninggal dunia kerana serangan jantung ketika berbahas

Reuters
Ahli Parlimen dari parti Saadet, Hasan Bitmez berucap di Parlimen sejurus sebelum rebah pada Selasa. (Gambar AFP)
ANKARA: Seorang Ahli Parlimen pembangkang meninggal dunia, dua hari selepas rebah akibat serangan jantung di parlimen ketika berucap mengkritik dasar kerajaan terhadap Israel.

Hasan Bitmez, 54, Ahli Parlimen dari parti pembangkang, Saadet, meninggal dunia di Hospital Ankara City, kata Menteri Kesihatan Fahrettin Koca kepada pemberita.

Beliau meninggalkan isteri dan seorang anak.

Siaran rasmi Parlimen menunjukkan Hasan rebah selepas berdiri untuk berucap dalam dewan pada Selasa lalu.

Beliau ketika itu mengkritik Parti AK (AKP) pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan kerana meneruskan dagangan dengan Israel ketika perang berlangsung di Gaza.

“Anda membenarkan kapal pergi ke Israel dan tanpa malu menggelarnya perdagangan. Anda bersubahat dengan Israel,” katanya dalam ucapan itu selepas meletakkan kain rentang yang tertulis kata-kata “Israel pembunuh; AKP pensubahat”.

“Tangan anda dipenuhi darah rakyat Palestin, anda pensubahat. Anda menyumbang kepada setiap bom dibedil Israel ke atas Gaza,” katanya ketika pembahasan belanjawan 2024 kementerian luar.

Sebaik selesai berucap, Hasan tiba-tiba rebah menyebabkan Ahli Parlimen lain bergegas membantunya.

Fahrettin berkata: “Jantungnya terhenti, dan resusitasi dilakukan sebelum beliau dipindahkan ke hospital dalam tempoh 20 minit.”

Tiada ulasan: