"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Meracau bila tak dapat 'pekena' vape

Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Suhaila Khairie
am@hmetro.com.my

WAP daripada cecair nikotin vape lebih bahaya kerana perisa dipanaskan menyebabkan ia lebih cepat masuk ke paru-paru.
Kuala Lumpur: "Selepas tempoh sehari hingga dua hari dimasukkan ke dalam wad hospital, pesakit menunjukkan simptom lebih ekstrem seperti berkomunikasi sendirian, meronta-ronta dan menjerit sehingga kami terpaksa mengikat mereka," ujar kakitangan sebuah hospital mahu dikenali sebagai Ayie, 32, berhubung gejala dialami penagih rokok elektonik vape.

Kisah itu dikongsinya menerusi video dimuat naik di aplikasi TikTok oleh akaun AyieTDF berhubung mangsa yang ketagihan vape atau rokok elektronik, baru-baru ini.

Dia yang enggan identitinya didedahkan berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya ketika bekerja di wad hospital, dia tidak pernah melihat penghisap vape mengalami ketagihan tahap ekstrem seumpama itu.

"Namun, kebelakangan ini seramai empat individu terutama golongan muda lingkungan usia 16 hingga 17 tahun dimasukkan ke wad kecemasan susulan simptom penarikan (withdrawal symptom) yang dialami.

"Kebanyakan mereka tidak sedarkan diri sepenuhnya atau separa sedar ketika dihantar di jabatan kecemasan hospital. Ketika itu jelas kelihatan perubahan tingkah laku pada menghisap vape muda ini.

"Mereka tidak memberi reaksi atau menyahut ketika dipanggil. Mereka juga berada dalam keadaan khayal atau separuh sedar," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Ayie yang juga kaunselor HIV dan AIDS berkata, perkara ini menunjukkan golongan pesakit terbabit sudah mula ketagih dengan bahan yang diambil.

"Pesakit yang menunjukkan simptom ekstrem termasuk meracau ini terpaksa diikat lima penjuru. Ini termasuk kedua-dua belah tangan dan kaki serta badan bagi mengelakkan risiko jatuh, atau melarikan diri dari wad.

"Kami juga bimbang jika mereka terjun bangunan dan sebagainya. Kami terpaksa melakukan perkara sebegini kerana jururawat sudah tidak mampu mengawal mereka," katanya.

Menurutnya, walaupun mangsa ketagihan vape ini masih mampu diubati namun kesan kepada paru-paru akan kekal dan masih boleh dilihat melalui imbasan sinar-X.

"Sebagai saksi yang sudah melihat sendiri perkara ini terjadi di depan mata, saya sebenarnya risau ketika membaca maklum balas daripada pengguna lain yang kebanyakannya menganggap perbuatan menghisap vape sebagai normal.

"Menghisap vape itu sendiri adalah budaya tidak sihat. Malangnya orang ramai masih mempunyai tanggapan bahawa vape lebih 'sihat' berbanding rokok. Hakikatnya vape dan nikotin sedikit pun tidak memberi kebaikan pada kesihatan.

"Wap daripada cecair nikotin vape itu sebenarnya lebih bahaya kerana perisa itu dipanaskan menyebabkan ia lebih cepat masuk ke paru-paru dan jumlah nikotin yang disedut juga adalah lebih tinggi berbanding asap rokok," katanya.

Ayie berkata, tujuannya memuat naik video itu adalah untuk memberi kesedaran berhubung bahaya vape dan berharap individu yang sudah terjebak segera mendapatkan bantuan daripada doktor.

"Kita terkebelakang dalam usaha menangani masalah vape dadah. Seolah-olah ia bukan lagi ancaman pada negara.

"Apa yang membimbangkan ada antara mangsa ketagihan vape ini mendakwa cecair vape itu sengaja dicampur dengan dadah seperti ganja dan dadah sintetik," katanya.

Sebelum ini Setiausaha Agung Majlis Penyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (MASAC), Raja Azizan Ismail memaklumkan lebih 800 dadah psikoaktif baharu atau new psychoactive substances (NPS) dipercayai digunakan dalam cecair vape yang boleh memberi kesan khayal.

Menurutnya, kesempatan itu digunakan oleh pengedar NPS berikutan ramai belia kini lebih gemar menghisap vape berbanding rokok.

Keadaan itu menurutnya mengakibatkan berlaku peningkatan penggunaan bahan kimia berbahaya dan mengkhayalkan dalam kalangan belia tetapi gagal dikesan oleh pihak berkuasa.

Kewujudan dadah vape ini menjadi salah satu penyumbang besar angka penyalahgunaan dadah di negara ketika ini," katanya.

ADA pesakit terpaksa diikat kerana meronta-ronta selepas alami gejala penarikan. 
ADA pesakit terpaksa diikat kerana meronta-ronta selepas alami gejala penarikan.
Vape sumbang risiko sakit mental

Ketagihan terhadap rokok elektronik vape terutama dalam kalangan remaja dan belia mendorong kepada gejala kemurungan emosi dan risiko penyakit mental.

Ketua Sustainable SmokeFree Campus Community Flagship, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohammad Haniki Nik Mohammed berkata, perkara itu diakui pakar kesihatan negara-negara maju yang terlebih dahulu sudah melakukan kajian terhadap kaitan vape dan kesihatan mental.

Menurutnya, keputusan diperolehi adalah konsisten terhadap kaitan tekanan diatesis membabitkan hubungan menghisap vape dan kemurungan.

"Kajian mendapati merokok termasuk vape adalah penyebab tekanan psikobiologi berikutan ia boleh memudaratkan sistem saraf.

"Terdapat bukti bahawa sistem saraf dan laluan tekanan oksidatif kembali normal selepas pemberhentian pengunaan tembakau atau nikotin yang berpanjangan.

"Oleh itu, berkemungkinan bahawa merokok mempunyai kesan ke atas kesihatan mental. Gejala penarikan (withdrawal symptom) nikotin adalah simptom ketara sebagai akibat pergantungan kepada nikotin," katanya.

Menurutnya, gejala itu termasuklah kebimbangan, kegelisahan dan penumpuan yang terjejas.

"Kajian menunjukkan bahawa kebergantungan kepada rokok elektronik vape itu sendiri menjadi faktor risiko peningkatan gejala kemurungan dalam kalangan belia.

"Justeru, mencegah permulaan dan menggalakkan pemberhentian menghisap rokok elektronik dalam kalangan mereka yang tidak pernah merokok boleh membantu meningkatkan kesihatan mental," katanya.

Menurutnya, keadaan diburukkan lagi apabila ada cecair vape mempunyai kadar nikotin terlalu tinggi selain turut dicampur dengan bahan terlarang dadah sintetik.

Beliau sebelum ini memaklumkan kerajaan sudah membelanjakan sejumlah RM6.2 bilion bagi merawat pesakit berkaitan tabiat merokok pada 2020, dan jumlah itu dijangka meningkat hingga RM8.8 bilion menjelang 2030.

Untuk rokok elektronik pula, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menganggarkan kos rawatan bagi penyakit berkaitan mencecah RM150,000 bagi tempoh 12 hari kemasukan ke wad.

Sebanyak 38 kes penyakit berkaitan penggunaan rokok elektronik termasuk Evali, dilaporkan KKM bagi tempoh 2022 hingga sekarang.

"Laporan Public Health of England (PHE) 2015 yang menyatakan vape 95 peratus lebih selamat daripada rokok yang banyak diuar-uarkan oleh pemain industri ketika ini, adalah naratif yang tidak berdasarkan bukti saintifik.

"Malah, beberapa kajian ketika ini juga mendapati tiada perbezaan antara kadar penyakit berkaitan merokok dalam kalangan pengguna e-rokok yang dilaporkan enam tahun kemudian. Jelas, penggunaan vape yang dianggap selamat itu bukanlah sepertimana dakwaan pihak industri," katanya.

'Magic Mushroom buat saya sewel'

"Otak saya jadi sewel selepas keracunan cecair vape dipanggil Magic Mushroom," ujar seorang lelaki mahu dikenali sebagai Lokman, 26.

Menurutnya, cecair vape itu menyebabkan dia mengalami halusinasi, berasa seronok yang melampau dan tidak sedar diri sepenuhnya.

"Antara simptom lain dialami termasuklah rasa kebas badan, degupan jantung menjadi laju dan berpeluh-peluh.

"Vape dadah ini bukan benda baharu, ia sudah lama berlegar di pasaran. Penjual biasanya mengiklankan di media sosial dark web berhubung perisa vape dicampur dadah ini. Mereka menggunakan perkhidmatan kurier bagi menghantar perisa vape ini di sekitar Lembah Klang.

"Satu botol perisa vape dengan kandungan 10 mililiter cecair vape ini dijual dengan harga RM160. Biasanya pengedar cecair vape dadah ini menggunakan pelbagai nama samaran perisa buah-buahan, menthol, vanilla, kopi dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, terdapat juga perisa vape dicampur pati ganja THC atau tetra hydrocannibol dan methylenedioxy-methamphetamine (MDMA).

"Saya mengalami ketagihan teruk dan tidak dapat berenggang dengan peranti vape. Bagaimanapun, saya akhirnya ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi bersepadu di Plaza Tol Sungai Besi di sini.

Menurutnya, dia kini dalam proses rawatan bagi memulihkan gangguan mental dan fizikal dialami.

Difahamkan vape mengandungi dadah Magic Mushroom atau 'Shroom' ini mengandungi bahan aktif 'psilocybin' iaitu sejenis bahan aktif halusinogen yang sangat kuat.

Sawan selepas hisap 'Special K'

"Kawan belanja pam (sedut) vape free. Dia kata flavour (perisa) baru pudina epal... tapi bila hisap, kepala jadi khayal sampai tak boleh bangun dan hilang ingatan beberapa jam," ujar Hilmi, 19, yang terjebak dengan penagihan cecair vape dicampur dengan dadah ketamin.

Remaja yang bekerja sebagai penghantar e-hailing itu berkata, dia mulanya sekadar 'cuba-cuba' untuk merasai kelainan menghisap rokok elektronik vape.

"Sebelum ini saya hanya menghisap rokok putih seludup kerana harganya murah berbanding rokok jenama terkenal.

"Namun kawan-kawan yang memilih vape 'meracun' (menghasut) saya kononnya menghisap vape lebih menjimatkan dan boleh refill (isi semula) cecair pelbagai perisa. Mereka kata ada berpuluh jenis cecair perisa vape yang dijual di pasaran," katanya.

Tambahnya, dia diperkenalkan vape perisa 'special K' (ketamin) yang didakwa boleh menghilangkan kelesuan dan merehatkan otak.

"Bagaimanapun, kesan ketagihan vape perisa 'special K' itu turut menyebabkan saya mengalami sesak nafas dan terkena serangan sawan. Ini mungkin kerana badan saya memiliki alahan dan tidak dapat menyesuaikan diri dengan asap vape dadah dihisap itu," katanya.

Menurutnya, dia akhirnya terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas diserang halusinasi teruk dan sawan ketika berada di rumah.

Remaja jadi sasaran 'test market'

Penggunaan rokok elektronik (vape) atau rokok semakin membimbangkan dan sangat sinonim terutama dalam kalangan belia pada masa kini, lebih-lebih lagi apabila dicampur pula dengan bahan terlarang.

Golongan ini mudah dipengaruhi dan keinginan mereka untuk mencuba benda baharu itu sangat tinggi menjadikan mereka antara mangsa 'test market' dan sasaran mudah.

Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Melati Sumari berkata, faktor utama individu ini terlibat adalah kerana mahu mencuba sahaja, namun terus terjebak disebabkan rasa 'suka'.

"Bila sudah mula ketagih dan secara tiba-tiba tidak peroleh bahan itu, mereka pastinya menjadi murung dan gangguan pada mental mula terjadi menyebabkan rutin harian juga terjejas.

"Jika seorang individu itu mula mengalami ketagihan, kita perlu tahu adakah dia mengalami masalah mental itu melalui penggunaan vape itu sendiri atau ada masalah lain yang mendorongnya menghisap vape dengan campuran bahan terlarang," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Melati, golongan belia masih terlibat dengan perkara yang merosakkan ini kerana meskipun fatwa menyatakan vape dan rokok haram, namun ia masih tidak salah di sisi undang-undang.

Dr Melati Sumari.
"Vape yang dicampur dengan bahan terlarang seperti dadah mempunyai akta berbeza. Tapi jika dilihat, kadang kala pengguna itu sendiri tidak sedar atau tidak tahu bahan yang digunakan mengandungi unsur terlarang.

"Jadi disebabkan mereka sudah mula ketagih dan selesa dengan unsur itu, mereka akan berhalusinasi dan mungkin akan menunjukkan simptom yang lebih teruk.

Menurutnya, gangguan itu juga menyebabkan kaunselor tidak dapat memberi bantuan secara terus kerana individu itu juga tidak stabil.

"Jika perkara sebegini berlaku, kita perlu menstabilkan dahulu keadaan individu terbabit kemudian baru boleh merujuk mereka pada kaunselor atau pakar.

"Kita juga akan mencari punca yang menyebabkan individu untuk mencuba vape hingga ke tahap ekstrem. Mungkin juga mereka sudah terjebak dengan masalah dalaman yang menjadi punca utama mereka bertindak sedemikian," katanya.

Tiada ulasan: