"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Khalid Samad: Pelantikan semula Dr Dzulkefly pilihan tepat

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Pengarah komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad menyifatkan pelantikan semula Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) sebagai Menteri Kesihatan sebagai pilihan yang tepat kerana ia akan memantapkan barisan kabinet yang memenuhi keperluan masyarakat.

Beliau berkata, pelantikan itu adalah berdasarkan kepada prestasi yang pernah ditunjukkan Dzulkefly ketika menjadi Menteri Kesihatan bagi tempoh 22 bulan dari 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020 di dalam kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita anggap ini semua sebagai satu usaha Perdana Menteri untuk mendapatkan satu kabinet yang lebih mantap dan berkesan dalam memenuhi keperluan masyarakat.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang antara kementerian yang paling kanan.

“Dengan timbulnya semula ancaman Covid, maka keterlibatan dan pengalaman Dr Dzul boleh dianggap sebagai amat diperlukan untuk menjamin keadaan yang lebih sihat dan selamat bagi rakyat jelata,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau yang juga bekas menteri wilayah persekutuan diminta mengulas mengenai pelantikan semula Dr Dzulkefly yang juga merupakan Pengarah Strategi AMANAH ke kementerian tersebut.

Pelantikan ini adalah sebahagian daripada rombakan jemaah menteri yang menyaksikan pelantikan tiga menteri dan dua timbalan menteri muka baru. Hanya seorang digugurkan.

Dr Dzulkefly menggantikan Dr Zaliha Mustafa yang diberikan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dalam rombakan kabinet hari ini.

Khalid turut mengulas berkenaan perpindahan Dr Zaliha Mustafa ke portfolio barunya.

”Saya mengharapkan bahawa Dr Zaliha dapat memberikan tumpuan sebaik mungkin untuk mendatangkan manfaat kepada warga Wilayah Persekutuan secara keseluruhannya.

”Saya juga berharap beliau akan dapat menentukan bahawa pembangunan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dapat diuruskan dengan lebih baik, apatah lagi banyak usaha yang telah dimulakan tempoh hari seperti isu pembangunan Kampung Baru, isu jeti baharu untuk Labuan dan sebagainya.

Beliau turut mengalu-alukan keputusan mewujudkan semula jawatan tersebut.

”Hakikatnya wilayah memerlukan seorang menteri untuk memantau dan menguruskan pembangunan walaupun ianya bukan negeri.

”Kalau negeri memerlukan menteri besar dan majlis mesyuarat kerajaan negeri untuk memantau dan mengurus pembangunannya, maka begitu juga dengan Wilayah Persekutuan.”

Tiada ulasan: