"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi Awang: Hutang dosa yang tidak diampun tular tapi Pas belum bayar hutang

HarapanDaily.com

Satu klip video yang memaparkan presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata hutang adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah swt, telah tular.

Video ini tular dalam keadaan di mana bekas syarikat pencetak akhbar Pas Harakah menuntut hutang tertunggak dari Pas.

Hadi menceritakan bahawa seorang sahabat bertanya kepada Nabi Muhammad, sekiranya mati di medan perang, apa yang akan beliau diperolehi?

“Rasulullah kata Tuhan ampunkan dosa-dosa mu, banyak mana besar mana dosa pun, Tuhan ampunkan kecuali hutang dengan orang. Hutang kena bayar. Kalau mati syahid sekali pun hutang orang tak bayar, tertanggung hutang itu.

“Ini beratnya hutang. Hutang jangan buat mudah. Nak lepas hutang orang, dia perang sampai biar mati tak payah bayar hutang. Itu tak boleh. Hutang orang kena bayar. Itu berkait dengan manusia.

“Ini tanggungjawab yang mesti kita tunaikan. Hanya sebab itu bila seorang itu nak pergi berjuang, dia kena minta halal. Kena bayar hutang dahulu atau minta halal dengan orang yang dia berhutang,” katanya dalam video tersebut.

Bekas pengurus syarikat pencetak akhbar Harakah – NAJ Press Resources, Hussin Jan telah meluahkan rasa tidak puas hati apabila Pas masih gagal melangsaikan hutang tertunggak bernilai lebih setengah juta kepada mereka.

“Kalau dia parti Islam, harap tolong bayar hutang kerana bos besar yang juga pengasas syarikat (Azlan Jan) pun berada dalam keadaan tidak sihat dan sedang menerima rawatan di hospital.

“Jadi sepatutnya inilah waktu paling sesuai untuk mereka membayar hutang. Saya tak nak dendam dengan mereka.

“Hari itu kata tunggu keputusan mahkamah, sekarang mahkamah sudah buat keputusan, mereka pula cuba nak melambat-lambatkan proses bayaran.

“Sebab apa (lambat bayar)? Adakah tujuan nak tangguh, tak nak bayar atau macam mana? Itu yang jadi masalah,” katanya.

Notis perintah dan penghakiman bawah Aturan 14 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 bertarikh 5 Disember 2023 telah pun dihantar dan tempoh hayat telah pun mati.

Pada 5 Disember lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Pas membayar RM656,233.69 kepada NAJ Press sebagai baki bayaran perkhidmatan mencetak.

Tiada ulasan: