"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Hilang sokongan dunia, kemusnahan Gaza juga bencana bagi Israel’

HarapanDaily.com

Apa yang berlaku di Gaza juga bencana bagi Israel kerana rejim itu kehilangan sokongan di seluruh dunia, tegas Perdana Menteri Ireland.
‘Hilang sokongan dunia, kemusnahan Gaza juga bencana bagi Israel’
Leo Varadkar berkata kepada Parlimen Ireland di Dublin, ia adalah bencana kerana konflik yang dicetuskan rejim itu tidak akan membawa ‘keselamatan’.

“Apa yang dilakukan oleh kerajaan Israel menjejaskan keselamatan jangka panjang dan jangka sederhana.

“Ini tidak akan membawa kepada keamanan dan mereka semakin hilang sokongan.

“Malah, sekutu terdekat mereka Amerika Syarikat (AS), saya percaya mula meragui tentang apa yang mereka lihat sedang berlaku di Gaza,” dipetik Agensi Anadolu.

Pendirian itu disuarakan ketika gerombolan kereta kebal dan jet tentera pengganas Israel menyerang penduduk Palestin yang kelaparan di selatan Gaza.
Ramai rakyat Palestin di Gaza yang masih terselamat terpaksa berlapar sepanjang hari.

Dalam masa sama, beliau menyambut baik usaha menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera di Gaza menerusi undian Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

“Hanya 10 negara kini berpihak kepada Israel.

“Apa yang kita lihat berlaku di Gaza adalah bencana mutlak bagi rakyat Palestin dan mereka mengalami penderitaan yang begitu dahsyat,” kata Varadkar.

Resolusi tidak mengikat itu, dibentangkan oleh Mesir dengan sokongan hampir 100 negara, termasuk Turkiye dan diluluskan pada sesi khas tergempar mengenai Palestin dengan 153 undi menyokong daripada 193 negara anggota.

Varadkar berkata perang di Gaza adalah “bencana strategik” bagi rejim zionis itu dan telah membuat “kesilapan besar.”

Beliau menegaskan bahawa Ireland menyifatkan keadaan konflik berdarah di Gaza itu “tidak boleh diterima”.

Sehubungan itu, pemimpin berkenaan menggesa supaya pengeboman tanpa henti dan pembunuhan orang awam yang tidak bersalah dihentikan.

Menurutnya, kerajaan Ireland akan membawa kes itu ke Brussels dan platform lain untuk memastikan gencatan senjata segera dan berkekalan.

Lebih dua bulan, Israel mengganas di Jalur Gaza mengakibatkan lebih 18,500 rakyat Palestin syahid manakala dua pertiga daripada 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Rakyat Palestin semakin menderita apabila kira-kira 91 peratus daripada kira-kira 2.3 juta populasi di Gaza sedang berdepan krisis kebuluran manakala 63 peratus terpaksa berlapar sepanjang hari.

Tiada ulasan: