"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dengan cita-citanya

Mohsin Abdullah

Memulakan artikel ini dengan imbau kembali penulisan saya yang disiar FMT pada 26 April, bertajuk “Cerita oghe Kelate”. Saya menulis bahawa menurut seorang rakan undi untuk PAS di Kelantan yang diperolehi daripada pengundi tradisi yakni golongan dewasa dan warga emas berkurangan pada PRU15, meskipun parti itu mengekalkan kuasa. Namun maklumat itu tidak dapat disahkan. Oleh itu tidak pasti sama ada golongan lama sudah meragui kerajaan PAS pada waktu pengundi muda menyokong. Pengundi muda yang dimaksudkan khusus rakyat Kelantan di perantauan.

Bagaimanapun maklumat itu boleh ditimbulkan lagi berpandukan laporan FMT siaran 5 April lalu, berjudul “Isu ‘duit balik mengundi’ kacau usaha PAS dominasi Kelantan, kata penganalisis”. Laporan iu memetik penganalisis politik berkata isu ‘duit balik mengundi’ akan menjadi topik penting menjelang PRN Kelantan kelak. Bagaimanapun dalam konteks artikel ini bukan isu itu yang ingin saya perkatakan. Yang menarik perhatian saya ialah, menurut Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, semakan ke atas rekod pilihan raya sejak 2018 menunjukkan PAS bergantung pada sokongan rakyat Kelantan di perantauan untuk mengatasi penyokong pembangkang di enam hingga sepuluh kawasan DUN.

Mazlan memberitahu FMT, “kalau undi luar tak balik PAS akan ada masalah. Kalau pengundi luar tak balik dan peratusan undi rendah BN ada peluang tambah kerusi di beberapa kawasan apabila bergabung dengan PH.”

Berdasarkan apa yang dikata penganalisis itu saya lihat keadaan di Kelantan begini: PAS memerlukan pengundi di perantauan kerana tidak boleh bergantung harap sepenuhnya pada pengundi tradisi (tidak seperti zaman lalu). Diulang persoalan yang pernah saya ajukan: adakah pengundi tradisi di Kelantan sudah bosan atau tidak tahan lagi menanggung pelbagai masalah yang tidak diatasi pentadbiran PAS untuk sekian lama? Apa masalah itu umum tahu. Tidak perlu saya huraikan.

Memastikan pengundi perantauan pulang apabila pilihan raya diadakan serta ‘menyejukkan’ hati pengundi bosan saya kira dua isu besar yang pimpinan PAS mesti tumpu. Saya maksudkan bukan sahaja pimpinan peringkat Kelantan tetapi juga pemimpin tertinggi peringkat nasional. Tidak tahu sama ada mereka sudah ada perancangan menangani dua isu itu. Tetapi dalam pada itu PAS dikatakan sedang meneroka untuk menguasai Perak dan seterusnya Pantai Barat Semenanjung selepas kejayaan besarnya (baca: Gelombng Hijau) pada PRU15 November lalu.

Ini didorang faktor pengaruh parti itu dalam sistem pendidikan dan pentadbiran Islam di negeri-negeri. Demikian yang dirumus satu kajian Institut ISEAS-Yusof, Singapura. Menurut ringkasan eksekutif kajian itu, PAS berjaya membuat “inroads” di Pantai Barat Semenanjung seperti yang dapat dilihat di Perak. Walaupun beberapa faktor menyumbang kepada kejayaan itu, satu aspek yang para pemerhati mungkin terlepas pandang ialah ‘pelaburan’ PAS dalam sistem pendidikan Islam.

Memberi fokus kepada Perak, kajian berkenaan memeriksa peranan PAS dalam “the politicization of Islamic education” atau pempolitikan pendidikan Islam.

Menerusi perbualan dengan guru, pentadbir serta pengamal di sektor pendidikan, kajian mendapati wujud beberapa isu yang memudahkan penyebaran ideologi PAS di sekolah-sekolah, dan juga kurangnya peraturan di beberapa jenis sekolah tertentu, pendedahan secara tidak langsung pelajar terhadap isu politik, dan kelonggaran atau lebih tepat “loophole “ berkaitan berdakwah di masjid. Para penyelidik membuat pelbagai rujukan dalam menyiapkan kajian ini. Antaranya mereka merujuk artikel saya siaran FMT pada 9 Disember 2022 bertajuk “Sekolah pondok dengan Gelombang Hijau”.

Dalam artikel itu saya menyajikan pandangan kenalan tentang ‘benih-benih hijau segar’ di sekolah pondok, sekolah agama, dan dalam kalangan pelajar dari Timur Barat dan yang terdedah dengan ideologi parti “yang berteraskan Islam”. Kata seorang aktivis seni, naratif “PAS itu Islam” mesti diperbetulkan. Berkata pula seorang bekas wartawan politik, yang asal dan masih menetap di Perak: “Pendidikan Islam bukan masalah tetapi kalau dicanang pangkah PAS masuk syurga lain lah ceritanya. Orang Melayu bila PAS guna Islam masing-masing terkasima.”

Melihat pengajaran ideologi dan idea berpotensi pelampau (potential extremist) dan memudaratkan “setting” Malaysia yang berbilang agama dan bangsa, kajian Institut ISEAS-Yusof Ishak mengetengahkan beberapa cadangan termasuk menyeragamkan amalan dan silibus di sekolah tertentu dan mengkaji semula rancangan menubuhkan Sekolah Wawasan bagi menggalakkan integrasi merentasi strim pendidikan, dan juga supaya dapat dikurangkan pengasingan dan prejudis agama dan perkauman.

Benar apa yang dihuraikan menerusi kajian itu. Cuma seperti dinyatakan pada artikel saya Disember lalu, apa pun yang dilakukan, ia mesti teliti dan berhati-hati. Apa pun langkah yang diambil bagi memperbetulkan keadaan, jangan sampai boleh dieksploitasi dan membakar sentimen supaya orang Melayu Islam membenci pemerintah.

Kesimpulannya apa yang mesti dilakukan bukan senang, malah susah.

Tiada ulasan: