"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Badan Peguam lulus resolusi 'hilang percaya' pada AG

Malaysiakini 

Badan Peguam Malaysia menerima pakai resolusi hari ini yang mengisytiharkan bahawa ia tidak percaya kepada Peguam Negara (AG) Idrus Harun yang "gagal" mempertahankan badan kehakiman dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Ini adalah berhubung serangan terhadap badan kehakiman berikutan sabitan bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International.

Ini khususnya serangan yang ditujukan kepada hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mensabitkan kesalahan Najib di Mahkamah Tinggi.

“Badan Peguam Malaysia kecewa dengan sikap berdiam diri dan tidak bertindak peguam negara dalam menghadapi serangan tidak wajar dan dakwaan rasuah terhadap hakim Nazlan, dan merupakan pengabaian tugas oleh peguam negara,” kata Badan Peguam Malaysia.

Tempoh Idrus memegang jawatannya akan tamat pada September, berikutan lanjutan yang diberikan pada 6 Mac.

Resolusi itu hari ini juga memberi mandat kepada Majlis Peguam untuk memberi notis kepada peguam negara untuk membawa prosiding penghinaan terhadap mereka yang bertanggungjawab menyerang badan kehakiman.

“Jika gagal, Majlis Peguam hendaklah mempertimbangkan dan, jika difikirkan sesuai, memulakan prosiding penghinaan itu atau sebarang prosiding atau tindakan lain sebagai mengesahkan resolusi di atas,” katanya, menurut teks resolusi yang diterbitkan di laman web Badan Peguam Malaysia.

Resolusi itu telah diterima pakai semasa mesyuarat agung luar biasa hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Idrus untuk mengulas mengenai resolusi tersebut.

Tiada ulasan: