"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi, Dr M tak endah statistik kuasa Melayu

K. Parkaran

PETALING JAYA: Masyarakat Melayu tidak boleh terpengaruh dengan retorik perkauman yang dilontarkan ahli politik yang menganjurkan Proklamasi Orang Melayu kerana ia tidak disokong oleh statistik, kata seorang ahli sains politik.

James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, masyarakat Melayu tiada sebab untuk berasa terancam oleh golongan bukan Melayu.

Merujuk dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Presiden PAS Hadi Awang dan beberapa pemimpin lain daripada PAS dan Bersatu, Chin berkata: “Mereka tidak mengendahkan sama sekali angka yang menentukan siapa yang mempunyai kuasa sebenar.

“Mustahil bagi bukan Melayu untuk menguasai landskap politik tempatan, berdasarkan statistik penduduk dan pertumbuhan penduduk sejak 50 tahun lepas,” katanya.

Statistik menunjukkan bahawa populasi Melayu-Bumiputera meningkat daripada 53% daripada jumlah penduduk pada 1970 kepada 65% pada 2021. Bilangan pengundi Melayu-Bumiputera juga meningkat dengan seiring.

“Jadi, dakwaan Mahathir dan Hadi bahawa orang bukan Melayu akhirnya akan mengambil alih kuasa politik tidak mempunyai asas statistik sama sekali,” katanya kepada FMT.

Chin juga berkata, sangat tidak mungkin terdapat sebarang pertumbuhan ketara di kawasan majoriti bukan Melayu untuk mengalihkan imbangan kuasa daripada orang Melayu.

Katanya, Mahathir, PAS dan Bersatu mendesak Proklamasi Orang Melayu dalam usaha meniru Kongres Maruah Melayu 2019 yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun berikutnya.

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Proklamasi Orang Melayu didesak bagi tujuan menangani perpecahan besar dalam masyarakat Melayu-Bumiputera.

“Walaupun orang Melayu dominan dari segi populasi, mereka sangat berpecah-belah disebabkan politik dan ideologi,” katanya.

Parti Melayu juga telah kehilangan sokongan sepenuhnya pengundi bukan Melayu, yang kini memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada PH, tambahnya.

Azmi berkata, proklamasi itu tidak akan mendapat sokongan rakyat Sabah dan Sarawak, yang membentuk sekurang-kurangnya 10% daripada bilangan Melayu-Bumiputera, “kerana cara mereka berfikir sangat berbeza daripada orang Melayu Semenanjung dari segi politik dan sosial”.

“Dengan PRN semakin hampir, PAS dan PN tahu bahawa undi Melayu penting untuk mereka kembali berkuasa.

“Jadi, mereka menggunakan proklamasi itu sebagai cara meraih undi Melayu pada PRN,” katanya.

Tiada ulasan: