"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar ulang cabaran: Mana kamu dapat harta berbilion?

Malaysiakini 

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi mengulangi cabaran kepada seorang pemimpin politik Melayu supaya mendedahkan semua harta peribadi dan aset milik keluarganya.

Tanpa menyebutkan nama, Anwar mengulangi cabaran itu ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri anjuran kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Majlis Bandaraya Seremban, hari ini.

"Harta kamu yang berbilion, anak ada pesawat, ada kapal, ada bank di luar negara, jual itu semua, bawa balik dan berikan kepada orang Melayu di Malaysia ini, baru betul jadi Pejuang.

"Itu belum dijawab, saya minta mereka jawab, berapa bilion dia ada, mana dia dapat wang itu, pulangkan balik kepada orang Melayu di Malaysia," katanya tanpa menyebut nama bekas perdana menteri itu.

Pada 3 Mei lalu bekas perdana menteri Mahathir Mohamad memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar berhubung dakwaan bahawa dia mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.

Mahathir meneruskan tindakan undang-undang selepas Anwar tidak mematuhi surat tuntutan agar membuat permohonan maaf terhadapnya berhubung dakwaan yang dibuat semasa ucapan dasar di Kongres Nasional Khas PKR 2023, pada 18 Mac lepas.

Dr Mahathir berkata kenyataan Anwar dalam ucapannya itu membawa maksud dia membolot harta untuk keluarga dan kehilangan harta, aset atau saham orang Melayu adalah berkaitan dengan harta, aset atau saham milik keluarganya.

Terdahulu, Anwar menepis dakwaan pembangkang bahawa kerajaan yang ditadbirnya hari ini tidak menjaga kepentingan dan hak orang Melayu.

Katanya, kerajaan hari ini akan terus mempertahankan hak dan kepentingan orang Melayu.

"Apa saya khianat untuk orang Melayu? Bahasa Melayu, hak keistimewaan orang Melayu? Projek untuk Melayu kami pertahankan dan (projek) sedia ada Jana Wibawa, untuk orang Melayu, kami ambil tindakan sebab apa, ia projek orang Melayu tetapi diberikan kepada orang Cina, projek Melayu tetapi mereka ‘sakau’ duit.

"Ada tokoh-tokoh Melayu, Tun, Tan Sri yang kaya raya heboh mahu jaga Melayu, mereka kata Anwar sudah tidak boleh harap, (Datuk Seri Ahmad) Zahid tidak boleh pakai, tidak boleh jaga Melayu. Saya mahu tanya mereka, apa yang kami serah? enam bulan kami pegang jawatan, saya beri apa?

"Itu saya katakan tata kelola, jaga wang negara, jangan sakau, jangan ambil wang itu penting, sebab kalau ambil, projek jadi kurang, rakyat tidak dapat habuan, salah kami apa? enam bulan saya, Datuk (Seri) Ahmad Zahid, menteri-menteri lain semua berikan arahan, keluar tender, jangan ambil apa-apa komisyen, tidak ada tanah, saham, yang diambil," katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.

Tiada ulasan: