"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rogol 2 anak bawah umur, bapa dipenjara 36 tahun

V Anbalagan

PUTRAJAYA: Seorang bekas pengendali kren akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan, selepas Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan terhadap hukumannya atas kesalahan merogol dua anak perempuan bawah umur.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan terhadap lelaki berusia 42 tahun itu kerana merogol anak perempuannya berusia 15 tahun pada pertengahan 2017.

Mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan 12 lagi sebatan terhadapnya kerana merogol anak perempuannya berusia 13 tahun pada awal Januari 2020.

Tertuduh mengaku bersalah ketika didakwa pada 12 Mei 2020.

Tetapi, hakim perbicaraan mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, yang bermakna dia perlu menjalani hukuman penjara 40 tahun dan 24 sebatan.

Mahkamah Tinggi turut menolak rayuannya terhadap hukuman itu.

Hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Kamaludin Said mengurangkan hukuman penjara daripada 20 tahun kepada 18 tahun dan 12 sebatan kepada 10 sebatan bagi setiap hukuman.

Kamaludin, yang bersidang bersama Hakim Azman Abdullah dan Lim Chong Fong, mengarahkan hukuman penjara itu dilaksanakan berturut-turut, bermakna tertuduh akan menjalani hukuman penjara 36 tahun dan 20 sebatan.

Terdahulu, peguam Ameerul Aizat Noor Haslan berhujah, 40 tahun keterlaluan dan tertuduh mungkin dibebaskan pada usia 80 tahun.

Tetapi, Azman memberitahu peguam, anak guamnya hanya perlu dipenjarakan 27 tahun kerana hukumannya akan diringankan satu pertiga, jika berkelakuan baik.

Ameerul turut meminta 24 sebatan, maksimum sebatan yang dibenarkan bawah undang-undang, dikurangkan.

“Saya tidak meminta hukuman berjalan serentak kerana kesalahan sama dilakukan terhadap dua mangsa dalam kejadian berbeza.”

Timbalan Pendakwa Raya, Fauziah Daud ketika meminta mahkamah mengekalkan hukuman itu berkata, terdapat dua kesalahan berbeza kerana jenayah itu berlaku pada 2017 dan 2020.

Fakta kes mendedahkan bapa lima anak itu merogol dua anaknya di rumah mereka di Segamat Baru, Segamat, Johor.

Dia ditahan pada 5 Mei 2020 selepas laporan dibuat ibu saudara gadis itu.

Tiada ulasan: