"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelancong Malaysia maut jatuh air terjun di Jawa Timur


 KAWASAN air terjun Tumpak Sewu mempunyai pemandangan yang menarik tetapi sangat berbahaya dan curam.-AGENSI
LUMAJANG: Pelancong dari Malaysia berusia 58 tahun yang dilaporkan meninggal dunia di air terjun Tumpak Sewu di Desa Sidomulyo di Jawa Timur, ternyata melanggar had umur yang ditetapkan di kawasan berkenaan.

Ketua Badan Pengurusan Pelancong (Pokdarwis) Tumpak Sewu Lumajang, Abdul Karim berkata, pihaknya sudah membuat peraturan berhubung had umur untuk turun ke dasar sungai di bawah air terjun Tumpak Sewu.

Menurutnya, umur minimum yang dibenarkan ialah 10 tahun manakala had maksimum pula ialah 50 tahun.

Karim turut memaklumkan pihaknya tidak tahu bagaimana warganegara Malaysia itu masih boleh turun ke dasar sungai kerana struktur muka bumi yang dilalui mangsa di kawasan berkenaan sangat curam dan berbahaya.

Selain had umur, Karim berkata, Pokdarwis juga tidak membenarkan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan, mengalami masalah takut dengan ketinggian atau mempunyai sejarah penyakit jantung daripada memasuki kawasan itu.

“Ingat, rupa muka bumi di sini sangat curam dan berbahaya. Justeru, mereka yang mengalami trauma dari ketinggian, mempunyai sejarah penyakit jantung dan had berat badan berlebihan sememangnya kami larang berada di kawasan itu,” jelasnya kepada Kompas.com.

Sebelum ini dilaporkan, seorang pelancong asing dari Malaysia, maut selepas terjatuh ketika menuruni tebing di kawasan Pelancongan Tumpak Sewu.

Mangsa datang melawat Tumpak Sewu bersama enam lagi pelancong asing dari Malaysia dan Singapura.

Mayat mangsa kini dilaporkan masih berada di bilik mayat Haryoto Lumajang untuk menunggu proses pulang ke tanah air.

Tiada ulasan: