Harapandaily
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan secara ringkas mengenai punca kenaikan tarif Amerika Syarikat dan kesan daripada pelaksanaan keputusan itu.
Zafrul mengumpamakan Amerika Syarikat sebagai sebuah pasar raya yang menjual pelbagai produk buatan negara itu sendiri dan buatan negara luar.
Disebabkan rakyat AS lebih membeli barangan luar daripada barangan buatan negara itu, tauke kedai mengenakan ‘yuran masuk’ bagi negara-negara yang ingin memasarkan produk mereka di kedai itu.
“Bayangkan Amerika Syarikat ini macam kedai besar. Sekarang ini orang Amerika suka sangat beli barang dari kedai lain sebab harganya lebih murah berbanding barang yang ‘made in USA’.
“Jadi, bos kedai marah. Mulai sekarang kalau barang luar nak masuk kedai kita, kena bayar yuran masuk. Contoh bayangkan China jual baju dekat Amerika sebelum ini harga baju itu USD100 sahaja. Selepas Amerika kenakan tarif 54 peratus kepada China, harga baju itu jadi USD154.
“Bos kedai Amerika ingat bila dah mahal macam ini orang Amerika tak beli dah barang dari luar. Syarikat-syarikat Amerika yang dulu buat kilang dekat luar pun akan balik buka kilang dekat Amerika
“Tapi bila barang dari luar jadi mahal, siapa yang kena bayar yuran masuk itu? Rakyat Amerika,” katanya.
Zafrul berkata, susulan pengumuman tarif baharu oleh Donald Trump, banyak produk dari luar negara akan dijual lebih mahal, sekali gus dikhuatiri akan meningkatkan lagi inflasi.
“Pengguna Amerika terpaksa berjimat sebab inflasi naik tinggi, semua barang dah mahal. Bila orang kurang beli, ekonomi pun jadi perlahan.
“Negara yang jual barang dekat Amerika pun tak suka barang dia orang tak laku, ekonomi dia orang boleh terjejas,” katanya.
Kesan lain yang akan dihadapi Amerika adalah potensi negara-negara luar melakukan tarif timbal balas iaitu dengan mengenakan tarif yang tinggi ke atas produk AS.
“Dia orang (negara luar) pun cakap, okay kalau macam itu barang dari Amerika pun kena bayar yuran masuk juga. Contohnya Kesatuan Eropah (EU) jual kereta dekat Amerika lepastu Amerika kenakan tarif.
“Sekarang EU pun kenakan tarif dekat kacang soya dari Amerika. Kalau semua negara kenakan yuran masuk dekat barang masing-masing, semua barang jadi mahal. Ekonomi dunia boleh jadi lembab sebab permintaan turun. Semua orang akan susah.
“Malaysia pun akan kena tempiasnya. Kita banyak eksport ke Amerika lebih kurang 16 peratus dari keseluruhan eksport kita.
“Bila Amerika kenakan tarif, barang kita dekat sana jadi mahal. Buat masa ini impak kepada kita nampaknya tidak berapa teruk berbanding ramai jiran kita,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Malaysia dikenakan tarif sebanyak 24 peratus, Vietnam 46 peratus, Thailand 37 peratus, Indonesia 32 peratus.
Bagi mengurangkan kesan tarif, Zafrul berkata, Malaysia sedang memperluaskan pasaran eksport dengan memberi keutamaan kepada rantau yang berkembang pesat serta memanfaatkan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang sedia ada, termasuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Awal tahun ini Malaysia sudah menandatangani Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif antara Malaysia dengan Emiriah Arab Bersatu.
Malaysia juga sudah mulakan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) dan Korea pada tahun lepas.
Pada masa yang sama, kerajaan akan meneruskan rundingan dengan kerajaan Amerika Syarikat untuk mencari penyelesaian menang-menang bagi kedua-dua pihak.
*Tarif adalah cukai ke atas perniagaan yang membawa masuk produk ke negara itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan