Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Empat usahawan dan peguam bergelar Datuk antara lapan individu yang ditahan kerana disyaki terbabit jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi dengan aset bernilai RM3.17 bilion dirampas serta dibekukan.
Kejayaan itu menerusi Op Northern Star rentas negara yang dilaksanakan hasil maklumat notis merah daripada Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol).
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, operasi dijalankan PDRM melalui Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman pada 20 Mac lalu.
"Melalui operasi itu, PDRM berjaya membekukan pelbagai aset dan hasil perolehan haram yang dipercayai berkait rapat dengan skim pelaburan tipu jenis 'ponzi scheme' atau dikenali sebagai Pelaburan MBI yang berpusat di negara jiran.
"Setakat ini seramai lapan individu tempatan termasuk seorang wanita berusia 44 hingga 62 tahun ditahan. Antara ditahan termasuk dua usahawan bergelar Datuk dan dua peguam turut bergelar Datuk," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pasukan turut berjaya membeku dan menyita pelbagai aset antaranya 638 akaun bank dan saham berjumlah RM1.16 bilion, 35 unit hartanah dianggarkan bernilai RM2 bilion dan 10 kenderaan mewah.
Katanya, turut dirampas adalah 12 jam tangan mewah, wang tunai pelbagai mata wang asing, telefon bimbit (6), beg tangan jenama mewah (4) dan masing-masing dua unit barang kemas serta komputer riba selain pelbagai dokumen penting.
Menurut Razarudin, semua harta dan barang disita itu dipercayai hasil perolehan haram berkaitan aktiviti penipuan pelaburan terbabit.
Kata beliau, kesemua suspek sudah direman antara satu hingga tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613).
"PDRM akan meneruskan siasatan terhadap mana-mana individu atau entiti yang disyaki terbabit secara langsung atau tidak dalam memperoleh, menerima, memiliki, menyembunyikan, memindahkan, mengubah, menukar, membawa masuk atau keluar, menggunakan dan melupuskan hasil perolehan haram berkenaan," katanya.
Beliau turut menasihati masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan menjauhi sebarang aktiviti mencurigakan selain tampil bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan jenayah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan