"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sumbang mahram rogol dan serah badan di Kelantan

Faisal Tehrani

Suka tidak suka, dengan tenang dan kewarasan; kita akan mendapati kegagalan dan kecuaian kuasa politik sedikit-sebanyak menjadi punca fenomena keji ini.

Minggu ini kita dikejutkan dengan satu pendedahan oleh ketua polis Kelantan yang menimbulkan kerisauan sengit. Menurut pihak berkuasa negeri tersebut, jumlah kes rogol, dan sumbang mahram semakin menjadi-jadi di negeri ini. Malah menurut ketua polis tersebut, peningkatan tahun demi tahun di Kelantan amat ketara. Bukan itu sahaja, terdapat pelaku seawal usia 10 tahun. Penjelasan pihak polis ini juga sangat mengejutkan lantaran dinyatakan terdapat kes remaja perempuan yang mencari lelaki untuk menyerah badan. Bukan itu sahaja, parahnya 98% kes sumbang mahram ini berlaku kerana ‘suka sama suka’. Punyalah bedebah, kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun juga nampaknya telah menghamilkan sepupu yang berumur 15 tahun.

Dalam dunia Melayu terdapat tiga jenis sumbang mahram. Pertamanya, sumbang balai melintang iaitu bermaksud zina dengan orang yang tidak boleh dikahwini (seperti ibu atau ayah, datuk atau nenek); keduanya, sumbang kadim yakni berzina dengan keluarga rapat; dan sumbang pati melibatkan permukahan dengan saudara sendiri.

Kamarul Azmi Jasmi dari Universiti Teknologi Malaysia dalam kertasnya bertajuk ‘Jenayah Sumbang Mahram: Perkembangan dan Faktor Penyebarannya’ (2004) menyatakan bahawa ‘sesebuah negeri tidaklah boleh menilai kes sumbang mahram hanya dengan melihat dari segi jumlahnya sahaja berbanding dengan jumlah kes negeri-negeri lain’. Sebaliknya menurut ahli akademik tersebut, ‘sesebuah kerajaan negeri perlu melihat tahap serius kes sumbang mahram mereka dengan melihat jumlah kes dibandingkan dengan jumlah penduduk negeri mereka’ maka ’dengan ini tahap keseriusan kes sumbang mahram boleh dilihat dengan nisbah yang lebih tepat.’

Atas hujah akademik ini sahaja, orang Kelantan yang sentap dan meruok apabila dihujahkan yang kerajaan negeri Kelantan telah gagal dalam hal ini perlu bermuhasabah. Bahawa kononnya urusan politik jangan sampai dilibatkan apabila berlakunya gejala haruan makan anak.

Namun, suka tidak suka, dengan tenang dan kewarasan; kita akan mendapati bahawa kegagalan dan kecuaian kuasa politik sedikit-sebanyak menjadi punca kepada fenomena keji ini.

Salah satu faktor politik yang mengakibatkan sumbang mahram ini menjadi-jadi adalah kedudukan sosioekonomi. Azizah Othman dalam kertasnya ‘Fenomena Sumbang Mahram di kalangan Masyarakat Islam di Malaysia’ (2004) pernah menyatakan ‘kes-kes sumbang mahram berlaku dalam kalangan keluarga yang mempunyai tahap ekonomi yang rendah’ di mana kita dapat membayangkan kekurangan bilik tidur, atau perkongsian bilik air; selain kedudukan terpencil yang memudahkan semua ini terjadi.

Jika sebuah kerajaan memiliki polisi yang baik dan pelan peningkatan ekonomi yang rapi dan tersusun untuk rakyatnya, sudah tentu kita tidak akan mendepani suasana di atas.

Sebenarnya, tahun demi tahun pendedahan ini tidak pun menyentuh atau menjungkit nurani ahli politik di negeri yang ditadbir oleh parti Islam itu. Tidak ada perancangan rapi misalnya untuk membawa keluar warga negeri yang berada dalam kemelaratan. Kerajaan negeri tidak ada idea bagaimana untuk menangani isu ini. Bangsa Kelantan berhijrah besar-besaran ke negeri lain, dan membawa sama penyakit masyarakat dari sana.

Jika kerajaan mengambil kira faktor yang digaris di atas, sudah tentu negeri pimpinan ulama ini akan bertemu upaya untuk membetulkan keadaan, misalnya kerajaan negeri boleh mencari jalan untuk menyediakan pelan perumahan yang munasabah untuk ’keluarga berisiko sumbang’.

Kalau isunya adalah kerana ‘keruntuhan moral’ dan ‘kekurangan iman’, hal ini lebih aneh. Ini kerana Kelantan adalah negeri yang telah ditadbir dengan penuh gilang-gemilang oleh kaum ulama. PAS memang mendabik dada dengan Kelantan. Cukup pelik rakyat negeri ini tidak berasa ingin menjadikan tuan-tuan guru sedia ada sebagai panduan dan pedoman mereka.

PAS telah menguasai Kelantan sejak tahun 1990, dan dekad demi dekad angka zina, rogol dan sumbang mahram kian meningkat. Alasan gejala keji ini berlaku kerana bi’ah tidak Islami atau lantaran kegagalan melaksanakan undang-undang Islam juga tidak lagi terpakai. Di negeri-negeri tanpa kerajaan Islam, fenomena ini dapat dianggap terpencil dan kian merosot atau terkawal angkanya.

Bukan itu sahaja, kebanyakan kertas akademik yang menyorot perihal sumbang mahram akan membawa kita kepada ‘hanya’ keluarga Islam, atau kadangkala dalam kalangan masyarakat India beragama Hindu. Yang mana sekali lagi, gejala ini dikaitkan dengan kemiskinan dan taraf hidup keluarga.

Pendedahan Mohd Yusof Mamat, ketua polis Kelantan tersebut sebetulnya amat berani. Ia harus dilihat bukan sebagai penghinaan untuk negeri Kelantan, bahkan ia adalah satu teriak rayuan yang menunjukkan taraf kengerian dan kekhuatiran yang luar biasa daripada seorang penjawat awam yang bukan pun bermain dengan politik-politik Islam. Kita di luar Kelantan kasihan akan masalah ini tetapi tangan kita terikat apabila majoriti rakyat Kelantan sendiri berada dalam keadaan ‘denial’.

Alim ulama PAS kalau disuruh bercakap tentang pencegahan mungkar, mulut mereka boleh bersempudal, dek pandai menyebutkan macam-macam istilah yang canggih. Misalnya untuk mengatasi gejala LGBT, alim ulama PAS menyarankan pendekatan targhib (galakan kebaikan), dan tarhib (gerun terhadap dosa). Padahal hakikatnya, sejak tahun 2017 lagi terdapat laporan peningkatan gejala LGBT di Kelantan yang dikaitkan dengan angka penghidap HIV.

Antara tahun 2001 hingga 2016, Kelantan merekodkan 11,000 kes HIV positif di mana 2,255 orang telah pun menghidap AIDS. Alasan Kelantan bersempadan dengan Thailand juga dapat dikatakan lucu, tetapi beginilah selalunya fakta dan kerisauan mengenai kegiatan seks pelik di Kelantan itu disanggah.

Mengambil kira targhib dan tarhib, negeri yang memang banyak pondok dan madrasah ini juga nampaknya gagal mengatasi keadaan ini. Kita belum mendengar tuan guru atau ustaz yang aktif turun padang mengambil berat hal-hal begini. Maka tarhib apa namanya?

Setiap kali ada pendedahan mengenai seks bawah umur, sumbang mahram atau projek serah badan, setiap kali itu jugalah fakta ini diketepi dan disanggah dengan alasan ia adalah ’sampah politik’.

PAS kekal, hanya berminat dengan kuasa tetapi tidak pun mengambil berat akan masalah sosial dan ekonomi rakyat. Membaca ‘Minda Presiden’ di ruang Harakah kita akan mendapati PAS terpaling Islam. Tapi seperti dinyatakan di atas, pelan satu habuk pun tiada.

Maka, jika pimpinan parti Islam di negeri ini masih memandang ringan pendedahan ketua polis Kelantan tersebut, orang Kelantan jangan sampai terkejut kalau kelak demi menjaga keturunan, orang luar Kelantan mulai bimbang untuk mengizinkan anak cucu mereka berkahwin dengan orang dari negeri ini.

Hal ini tentulah menyedihkan memandangkan baka orang Kelantan baik dan comel belaka.

Tiada ulasan: