FMT Reporters
Kejadian itu berpunca daripada selisih faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata enam individu mengalami kecederaan dalam kejadian di Jelapang, Ipoh semalam.
PETALING JAYA: Polis menahan sembilan lelaki disyaki terlibat dalam kejadian merusuh menggunakan senjata yang berpunca daripada perselisihan faham di kawasan Jelapang, Ipoh semalam.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata semua lelaki berusia lingkungan 19 hingga 41 tahun itu ditahan di lokasi berasingan sekitar jam 6.45 pagi hari ini.
“Polis menerima laporan kejadian daripada seorang lelaki tempatan berumur 36 tahun pada jam 12.30 tengah malam yang mendakwa diserang sekumpulan lelaki menggunakan senjata.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada selisih faham berkaitan motosikal yang dirampas dalam kegiatan lumba haram,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, seramai enam mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital sebagai pesakit luar.
“Senjata yang disyaki digunakan semasa kejadian adalah kayu besbol, parang, pedang samurai, topi keledar dan pisau panjang,” katanya.
Abang Zainal berkata, semakan rekod kesalahan lampau mendapati dua daripada sembilan suspek mempunyai rekod bersabit kes dadah dan jenayah.
“Hasil ujian saringan air kencing pula mendapati tiga suspek positif dadah jenis benzodiazepin dan seorang lagi suspek positif tetrahydrocannabinol (THC),” katanya.
Permohonan reman terhadap empat suspek dibenarkan selama tiga hari manakala lima lain ditahan reman sehari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Mohamad Al Hakim di talian 011-11256246 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan