FMT Reporters
Mangsa kemudian jatuh mengenai cermin hadapan kereta di laluan bertentangan.
Cermin kereta di laluan bertentangan pecah akibat impak mangsa yang tercampak dari kenderaan dipandu ibu. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan tujuh tahun maut apabila tercampak keluar dari kenderaan dipandu ibu, lalu jatuh mengenai cermin hadapan kereta di laluan bertentangan, dalam kejadian di KM147.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), arah timur, Maran.
Dalam kejadian sekitar 1.40 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Maran Wong Kim Wai, berkata nahas berlaku ketika kereta Honda Civic dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur menghala ke Kuantan.
“Ketika kejadian, cuaca hujan. Tiba-tiba Honda Civic dipandu ibu mangsa berusia 31 tahun hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi penghadang jalan sebelah kanan.
“Akibatnya, mangsa telah tercampak keluar ke laluan bertentangan dan jatuh mengenai cermin besar hadapan Perodua Myvi di laluan bertentangan,” katanya menurut Sinar Harian.
Katanya, suami kepada pemandu dan seorang lagi anak perempuan berusia sembilan cedera ringan.
Wong berkata, manakala pemandu Perodua Myvi iaitu lelaki berusia 57 tahun bersama isterinya, 54, serta anak lelaki, 11, cedera ringan dan sedang dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan