Sinar Harian
Mayat yang ditemui mati di sebuah sawah padi di Wilayah Chai Nat, Thailand, pada Khamis lalu. - Gambar/ Sinar Harian/ Agensi
SEORANG remaja perempuan berusia 18 tahun menjadi mangsa keganasan bekas teman lelaki yang cemburu apabila dia ditemui mati di sebuah sawah padi di Wilayah Chai Nat, Thailand, pada Khamis lalu.
Mangsa dikenali sebagai 'Focus', dipercayai dibunuh dengan kejam menggunakan objek tumpul sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan muka.
Mayatnya ditemui tertiarap di dalam parit oleh seorang petani tempatan yang kemudiannya segera menghubungi pihak berkuasa.
Siasatan polis mendapati pembunuhan itu dilakukan oleh bekas teman lelaki mangsa, berusia 18 tahun yang juga merupakan anak kepada seorang ahli politik tempatan berpengaruh.
Motif utama pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu melampau selepas hubungan mereka berakhir.
Suspek pada awalnya menafikan penglibatan dalam kejadian itu, namun selepas disoal siasat secara intensif, dia akhirnya mengaku telah membunuh Focus dalam keadaan marah dan mabuk.
Dia turut mengaku menyeret mayat mangsa ke kawasan sawah sebelum melarikan diri ke rumah.
Kejadian tragik itu berlaku pada hari yang sepatutnya menjadi detik membanggakan buat mangsa.
Focus baru sahaja menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Hankha dan dijadualkan mengambil sijil tamat pelajaran pada hari kejadian.
Dia juga baru sahaja diterima masuk ke sebuah universiti terkemuka di Bangkok.
Sumber keluarga turut mendedahkan bahawa sebelum kejadian, Focus pernah bertengkar dengan suspek dan memutuskan hubungan mereka.
Lelaki itu dilaporkan mempunyai sejarah mencederakan bapa Focus dan cuba membakar rumah keluarga mangsa. - Sinar Harian memetik agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan