FMT Reporters
Bomba berkata operasi membawa naik mangsa menggunakan pengusung dan tali menyelamat berdepan kesukaran kerana arus deras. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir ketika bergambar di air terjun Lata Jarum, Ulu Dong, Raub, Pahang, petang tadi.
Mangsa Muhammad Shahrul Ikwan Adam Hareez Islami, 18, sebelum itu berkunjung ke kawasan air terjun berkenaan bersama dua rakannya untuk berkelah.
Penguasa Kanan Bomba I Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Salahuddin Isa, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.10 petang.
Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Raub digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan.
“Mangsa adalah penduduk kampung di sekitar kawasan air terjun itu. Dia hanya datang untuk berkelah bersama rakan dan tidak mandi. Mangsa bagaimanapun tergelincir ke dalam air terjun semasa hendak bergambar dengan berlatarbelakangkan pemandangan di situ.
“Yang mengambil gambar ialah rakannya dan mangsa berjaya dijumpai pasukan bomba dengan bantuan orang awam kira-kira 5.42 petang pada kedalaman kira-kira 3.04m di lokasi dia dilaporkan tergelincir,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, operasi membawa naik mangsa dengan menggunakan pengusung dan tali menyelamat berdepan kesukaran kerana arus deras.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan