"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Podcast' selesaikan kes wanita hilang 40 tahun lalu

Agensi
KAREN Schepers hilang pada 1983. Minggu lalu, kereta dan mayatnya ditemukan di sungai di Illinois. FOTO Instagram @chaos_divers
KAREN Schepers hilang pada 1983. Minggu lalu, kereta dan mayatnya ditemukan di sungai di Illinois. FOTO Instagram @chaos_divers
Washington: Rangka wanita dilapor hilang lebih empat dekad lalu ditemukan di sungai di Illinois, Amerika Syarikat (AS), dan penemuan itu hasil usaha polis yang melancarkan audio siar bagi mencari jawapan bagi kehilangannya.

Portal Global News melaporkan, rangka itu ditemukan di dalam sebuah kereta yang ditarik dari Sungai Fox, kira-kira 30 kilometer (km) dari Chicago, minggu lalu.

Polis Elgin berkata, rangka itu adalah Karen Schepers, yang kali terakhir dilihat pada April 1983 dan berumur 23 tahun ketika dilaporkan hilang.

Menurut WGN9 Chicago, Schepers dan Toyota Celica kuningnya hilang kira-kira 1 pagi 16 April 1983, selepas wanita itu meninggalkan bar sewaktu keluar malam bersama rakan sekerja.

Kes itu tidak selesai kerana petunjuk awal adalah samar-samar dan tiada maklumat baharu tersedia.

Bagaimanapun, Jabatan Polis Elgin menubuhkan Cold Case Unit dan membuka semula kes orang hilang Scheper pada Mei tahun lalu.

Detektif Andrew Houghton dan Matt Vartanian diberi lampu hijau untuk memulakan audio siar bertajuk 'Somebody Knows Something: The Elgin Police Cold Case' mendedikasikan episod pertama mereka, yang disiarkan pada 20 Januari tahun ini, untuk kes Schepers.

Detektif terbabit dalam audio siar itu bersembang dengan rakan Schepers yang mengemukakan beberapa teori boleh menjelaskan kehilangannya.

Antara teori itu termasuk Schepers mahu meninggalkan kehidupan lamanya dan membina semula hidup di tempat baharu, bunuh diri, diculik atau dibunuh oleh seseorang, dan terbabit kemalangan.

Berdasarkan semua teori berkenaan, detektif membuat keputusan untuk mencari di laluan air, dengan menyatakan bahawa paras air di Sungai Fox adalah luar biasa tinggi ketika kehilangan Schepers.

Polis bekerjasama dengan kumpulan Illinois, dikenali sebagai Chaos Divers, untuk mencari dan meneroka beberapa lokasi dengan menggunakan teknologi sonar.

Pada 24 Mac, seorang penyelam menemukan rangka Schepers di Sungai Fox. Rekod pergigian membuktikan rangka yang ditemukan di dalam kenderaan itu adalah wanita berkenaan, walaupun polis masih tidak jelas bagaimana atau mengapa keretanya terbabas di dalam air.
-hmetro 

Tiada ulasan: