Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

PAUZI diselamatkan anggota bomba selepas tersesat jauh ke dalam ladang kelapa sawit akibat aplikasi Waze. FOTO Ihsan Jurasmadi Pauzi.
Kuala Lumpur: Aplikasi Waze menjadi panduan sebagai petunjuk jalan ke sesuatu destinasi, namun siapa sangka ia boleh menjadi pengalaman mencemaskan kepada seorang warga emas apabila tersesat hingga ke dalam ladang kelapa sawit.
Malah, kereta Proton Iswara dipandunya terkandas di dalam lumpur di kawasan Benta, Pahang sehingga terpaksa meminta bantuan apabila hari semakin gelap.
Pauzi Ismail, 70, sebelum itu memandu bersendirian dari Gua Musang, Kelantan untuk pulang ke rumahnya di Bandar Penawar, Johor pada Khamis lalu.
Dia menggunakan aplikasi Waze bagi mengelak kesesakan namun bertukar detik cemas selepas tersesat beberapa jam di ladang kelapa sawit lama.
Menceritakan semula kejadian itu, anak sulungnya, Jurasmadi Pauzi berkata, kejadian itu berlaku pada hari raya keempat dan mereka bergerak dengan dua kereta.
Menurutnya, ibunya naik dengannya, manakala ayahnya memandu bersendirian ke Hospital Gua Musang untuk melawat adiknya yang dirawat di sana.
Namun, katanya, akibat kesesakan mereka terpisah dengan bapanya yang tiba dulu di hospital sebelum bergerak pulang ke rumahnya di Bandar Penawar, Johor sekitar jam 5 petang sementara dia pulang ke Kuala Lumpur.
"Sekitar jam 6 petang saya menerima panggilan daripada sepupu memberitahu dia menerima panggilan bomba Pahang memaklumkan ayah tersesat di ladang sawit dan tidak mengetahui lokasi sebenar.
"Saya dan adik cuba menghubungi ayah dan meminta dia berkongsi lokasinya menggunakan telefon bimbit itu namun ayah tidak tahu cara untuk melakukannya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Jurasmadi berkata, pelbagai cara digunakan untuk mendapatkan lokasi sebenar bapanya termasuk membuat panggilan video namun gagal kerana bapanya tidak dapat memberikan sebarang petunjuk, tiada nama jalan, tiada rumah penduduk, tiada masjid atau bangunan terakhir yang dilalui.
"Ayah beritahu dia hanya ikut sahaja arah Waze yang ditunjukkan itu tanpa melihat sekelilingnya.
"Mujur selepas menyedari tersesat ayah membuat panggilan kecemasan 999 dan ketika itulah baru kami mengetahuinya selepas bomba menghubungi sepupu," katanya.
Menurutnya, keadaan bertukar cemas selepas bateri telefon semakin lemah namun bapanya masih gagal berkongsi lokasinya kerana tidak mahir dalam teknologi itu.
"Malah ketika panggilan video itu pegawai polis dan bomba turut melihat bayang orang lain berada di tempat duduk penumpang sedangkan ayah ketika itu bersendirian.
"Mujur selepas beberapa jam ayah berjaya menghantar lokasinya namun tidak beberapa tepat menyebabkan pihak polis bertanya kepada penduduk kampung sama ada mengetahui ladang kelapa sawit di kawasan itu," katanya.
Katanya, penduduk yang melihat gambar mendapati pokok sawit itu sudah tua dan tinggi dan memberitahu ladang itu sudah lama tidak diguna orang.
"Dengan bantuan penduduk kampung yang masuk ke ladang kelapa sawit itu menunggang motosikal akhirnya berjaya menemui ayah jam 10.02 malam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan