Afiezy Azaman
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengalami kerugian kira-kira RM11,000 selepas rantai lehernya diragut dalam satu kejadian di hadapan premis kedai serbaneka di Setia Alam, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa jam 2.08 petang.
“Siasatan awal mendapati, semasa mangsa bersama isterinya selesai membeli barang di premis berkenaan, mereka telah didatangi seorang lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 135LC berwarna merah.
"Suspek memaklumkan kononnya telah melanggar bahagian hadapan kereta mangsa sehingga mengalami kerosakan.
"Mangsa kemudiannya turun untuk memeriksa keadaan sebelum suspek secara tiba-tiba bertindak menarik rantai leher mangsa dari arah belakang sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Iqbal berkata, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Naqiuddin Nawawi di talian 012-3848103 atau menghubungi IPD Shah Alam di talian 03-55202222, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan