"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua bahagian MIC 'menyusup masuk' PKR?

Malaysiakini 

Seorang wakil rakyat PKR hari ini mendakwa pertandingan bagi merebut jawatan dalam parti itu dicemari oleh penyertaan individu yang tidak sepatutnya apabila dia cuba mencampuri urusan pemilihan.

Adun Rawang, Chua Wei Kiat, mendakwa ada seorang pemimpin MIC menyertai PKR pada Okt tahun lalu sebagai langkah untuk mempengaruhi proses pemilihan parti berkenaan.

Chua - yang bertanding untuk jawatan Ketua Cabang PKR Selayang - berkata proses pendaftaran keahlian PKR bukanlah sesuatu mudah dan tidak boleh dilakukan dengan cuai.

Antara proses yang perlu dilakukan, katanya, termasuklah perlu memuat naik gambar kad pengenalan dan pengesahan wajah secara langsung.

"Tindakan ini bukan suatu kes terpencil," katanya.

Malaysiakini tidak dapat mendedahkan identiti pemimpin MIC peringkat bahagian yang didakwa Chua itu sehinggalah mendapat reaksi daripada individu terbabit.

Chua yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR mendakwa tidak dapat dipastikan ada berapa ramai ahli MIC yang aktif sudah menyertai PKR setakat ini.

"Ia dilihat sebagai satu gerakan terancang untuk menyusup masuk ke dalam PKR dengan tujuan mempengaruhi proses pemilihan Cabang Selayang.

"Campur tangan seperti ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan parti luar yang cuba mengambil kesempatan terhadap sistem dalaman parti kita," tambahnya.

Menurut Chua dia membuat laporan polis berhubung perkara itu dan akan membuat aduan rasmi kepada pimpinan PKR dan MIC untuk tindakan selanjutnya.

Tiada ulasan: