"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kematian Zayn Rayyan akibat jerutan kuat di leher, kata saksi

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pakar forensik memberitahu Mahkamah Sesyen punca kematian kanak-kanak autism Zayn Rayyan Abdul Matin akibat jerutan kuat di leher dan bukan disebabkan mati lemas.

Pakar Perubatan Perunding Forensik, Dr Rohayu Shahar Adnan, berkata dapatan itu diperoleh berdasarkan hasil bedah siasat ketika beliau berkhidmat di Hospital Sungai Buloh, pada jam 12 tengah hari, 7 Dis 2023.

Beliau yang kini berkhidmat di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pasir Gudang Johor berkata, jerutan di leher mungkin boleh berlaku contohnya menggunakan tali, lanyard atau kain dipintal.

Saksi pendakwaan ke-27 berkata, berdasarkan jasad si mati jerutan dapat dilihat berdasarkan lebam otot di leher dan kelenjar tiroid.

“Ini menunjukkan perbuatan itu cukup kuat sehingga menyekat kemasukan oksigen ke paru-paru dan otak, seterusnya melemaskan si mati sehingga mengakibatkan kematian.

“Terdapat kesan jerutan di leher yang bertindih terletak 6cm di bawah telinga kanan dan kiri termasuk otot-otot leher dan kelenjar tiroid di bawah kesan jerutan ini turut lebam,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam penyataan saksi perbicaraan kes pengabaian kanak-kanak autism itu, dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal membabitkan, Ismanira Abdul Manaf dan suami, Zaim Ikhwan Zahari masing-masing berusia 30 tahun.

Rohayu berkata, hasil bedah siasat juga mendapati, terdapat kesan trauma tumpul dan tajam serta terdapat benda asing ditemui pada rongga pernafasan dan dalam perut Zayn Rayyan.

Katanya, lelangit mangsa turut lebam, menunjukkan benda asing terbabit dimasuk secara paksa ke dalam mulut tetapi itu tidak membawa kepada kematian kerana punca kematiannya bukan tercekik.

Rohayu juga memberitahu, terdapat luka-luka koyak dan lelasan akibat kemasukan objek tumpul di bahagian dubur kanak-kanak malang itu.

“Ada kesan trauma tumpul seperti lebam di mata, dahi, bibir, belakang kepala, rahang, tengkuk, belakang bahu kanan, antara dua belikat, belakang badan, dada, abdomen, sisi kanan badan, lengan kanan serta kiri.

“Ada juga luka potongan, tikaman dan hirisan di telinga kiri sehingga belakang kepala sebelah kiri,” katanya memaklumkan hirisan turut dikesan di belakang kepala sebelah kanan, luka hirisan pada lengan kanan atas dan luka hirisan pada lengan bawah kanan.

Menurutnya, kesan-kesan trauma tumpul dan tajam itu tidak mematikan tetapi merupakan penderaan fizikal ke atas mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Nur Sabrina Zubairi manakala peguam Haresh Mahadevan mewakili kedua-dua tertuduh.

Pada 13 Jun 2024, suami isteri itu mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari, 5 Dis 2023 hingga keesokannya, 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Pangsapuri Idaman, Damansara Damai pada 10 malam.

Mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui terbaring dengan jarak kira-kira 200m dari blok kediamannya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh bersambung esok.

Tiada ulasan: