Malaysiakini
Empat individu yang dikaitkan dengan sebuah rumah amal kanak-kanak di Taman Selayang Permata telah ditahan selepas beberapa penghuni bawah umur didakwa menjadi mangsa penderaan seksual yang berlaku dalam tempoh berpanjangan di premis berkenaan.
Menurut laporan NST, penderaan tersebut — yang dikatakan berlarutan lebih sedekad — terbongkar selepas dua bekas penghuni, yang baru sahaja berusia 18 tahun, tampil membuat laporan mengenai layanan buruk yang dialami mereka.
Polis sejak itu menahan empat individu termasuk pengendali rumah berusia 31 tahun serta seorang penghuni berusia 17 tahun. Rumah kanak-kanak tersebut juga didakwa beroperasi di bawah sebuah syarikat swasta dan bukan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor, S Maran dilaporkan berkata kejadian tersebut bukan insiden terpencil, sebaliknya satu tindakan berulang dan sistematik yang berlarutan tanpa dikesan dalam tempoh lama.
Maran berkata NGO itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak Ahad lalu sebelum mengunjungi rumah berkenaan pada petang hari yang sama, dengan menyamar sebagai penganjur sambutan hari jadi.
Keadaan menjadi lebih serius selepas bukti yang dikaitkan dengan penderaan tersebut ditemui dalam telefon suspek.
“Ahli kami mula menyoal penghuni secara berperingkat. Sebahagian kanak-kanak mula membuka cerita. Beberapa daripada mereka dapat mengenal pasti suspek.
"Dengan pengakuan mangsa dan apa yang kami temui, tiada lagi keraguan. Ini kes yang benar. Kanak-kanak ini didera,” katanya seperti dipetik.
Menurut laporan itu lagi, setakat ini sekurang-kurangnya 10 laporan polis telah dibuat oleh NGO, bekas penghuni serta ibu bapa.
Pemeriksaan perubatan terhadap mangsa dilaporkan menemukan kecederaan yang selari dengan penderaan seksual, dengan sebahagiannya dipercayai masih baru, kata Maran.
Mangsa terdiri daripada kanak-kanak lelaki berusia antara sembilan hingga 17 tahun dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang.
“Sejak penahanan dan pendedahan kes ini, ahli kami meluangkan lebih banyak masa di rumah tersebut. Kami mendapati sebahagian kanak-kanak ini hidup dalam trauma,” katanya.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan juga dipetik NST mengesahkan penahanan itu dan siasatan masih dijalankan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan