HARRITH HISHAM

Keadaan sebuah kereta Honda City yang melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh dua penunggang motosikal di Jalan Sultan Ismail, awal pagi tadi.
KUALA LUMPUR – Dua penunggang motosikal cedera parah selepas dirempuh sebuah kenderaan yang disyaki melanggar lampu isyarat merah di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pukul 4.27 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun cedera putus kaki kiri, manakala seorang remaja lelaki berusia 19 tahun patah tangan dan kaki kiri.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Honda City dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Hasil tindakan lanjut pihak JSPT Kuala Lumpur, pemandu kereta telah berjaya dikesan dan ditahan di Klinik Jacob, Kundang Rawang semasa sedang mendapatkan rawatan.
“Ujian alkohol telah dijalankan dan didapati tidak melebihi had yang ditetapkan. Ujian Saringan air kencing juga sedang dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Zamzuri, siasat awal mendapati semasa kejadian, kedua-dua motosikal yang ditunggang oleh dua lelaki tempatan sedang melintasi persimpangan dengan lampu isyarat hijau.
Katanya, sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun yang datang dari arah kanan dipercayai telah melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kedua-dua motosikal tersebut.
“Akibat kemalangan, kedua-dua penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, manakala seorang penumpang kereta turut mengalami kecederaan di bahagian kepala,” ujarnya.
Beliau menambah, seorang individu berusia 19 tahun yang berada di lokasi kejadian telah tampil membuat laporan polis dan dirakam percakapan sebagai saksi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan