Azizi Majid

Keadaan kereta yang dinaiki pasangan kekasih warga Singapura, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing pagi tadi. -Foto JBPM
KOTA TINGGI: Dua warga Singapura maut selepas kereta yang mereka naiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer 57.5, Jalan Johor Bahru-Mersing, pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah pemandu, Yeo Tian Wen, 34, dan penumpang yang dipercayai teman wanitanya, Ng Puay Ying, 33.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 9 pagi menerusi laporan orang awam.
“Kemalangan membabitkan kereta jenis Ferrari dipandu lelaki terbabit bersama-sama wanita di tempat duduk depan penumpang.
“Kereta itu dipercayai terbabas sendiri lalu kemalangan dan mengakibatkan kedua-dua mangsa cedera parah di badan, terbakar dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan