KOSMO!
Tangkap layar video memaparkan lelaki berbaju merah itu diekori dua lelaki lain dan kejadian didakwa berlaku di Ulu Yam.
PETALING JAYA – Aksi seorang lelaki berbaju merah berjalan laju sambil memegang parang panjang dipercayai berlaku di Sungai Tua, Jalan Ulu Yam meresahkan penduduk setempat.
Dalam kejadian itu, dua lelaki lain dilihat mengekori lelaki bersenjata tersebut yang menuju ke sebuah lori sedang bergerak dari arah bertentangan.
Menerusi video yang dikongsikan oleh seorang individu di media sosial semalam, salah seorang daripadanya memegang topi keledar yang dijadikan sebagai ‘perisai’ untuk pertahanan diri selain cuba menghalang lelaki tersebut daripada memanjat lori.
Seorang lagi individu yang turut mengekori lelaki berbaju merah tersebut pu;a memegang parang panjang.
“Sungai Tua, Ulu Yam! Kalau kita orang lambat, kereta kami kena panjat,” tulisnya pada kapsyen.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai respons dalam kalangan orang ramai bukan sahaja penduduk setempat, malah pengguna laluan tersebut yang bimbang dengan kejadian yang berlaku.
“Takutnya, selalu balik rumah mentua lalu sini,” kata seorang pengguna.
“Hari-hari pergi kerja lalu sini. Kawasan tasik ini,” komen pengguna lain.
“Kenapa tu? Dia tahan kenderaan,” kata @Selalu sabar.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan masa serta punca kejadian itu berlaku. Setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:
Catat Ulasan