"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penceramah bebas didakwa bunuh warga emas

Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
ANGGOTA Polis membawa tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANGGOTA Polis membawa tertuduh (tengah) di Mahkamah Majistret Selayang. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Selayang: Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh lelaki warga emas di restoran makanan segera, Desa Jaya minggu lalu.

Toh Kai Lun, 30, yang memakai baju T berwarna ungu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Nor Azlin Othman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Lim Kim Thong, 76, di No 23 dan 24, Jalan 54, Desa Jaya Kepong dalam daerah Gombak antara jam 5.20 petang hingga 5.40 petang, 5 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman pemenjaraan sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ernie Ahmad.

Kamarul Iman kemudian memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 oleh dua orang penjamin warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, Ernie kemudian meminta agar Kai Lun diberikan jaminan mengikut kemampuannya.

Ini kerana katanya, waris Kai Lun hanya mampu menyediakan wang jaminan sebanyak RM5,000.

"Saya difahamkan oleh kakaknya, beliau hanya mampu menyediakan sebanyak RM5,000 sahaja untuk bicara OKT (orang kena tuduh). Saya memohon pihak mahkamah memberikan jaminan mengikut kemampuannya," katanya.

Nor Azlin selepas itu menetapkan bayaran jaminan sebanyak RM8,000 oleh dua orang penjamin dengan syarat tambahan agar Kai Lun melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran kediamannya.

Tiada ulasan: