"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Barang larangan ditemui dalam lokap, Polis Perak lancar siasatan

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR

IPOH – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak memandang serius penemuan barang larangan termasuk bahan disyaki dadah dan telefon bimbit di dalam lokap Balai Polis Pusat (Sentral), Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, penemuan tersebut hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa lalu kira-kira pukul 10 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas empat orang tahanan di dalam salah sebuah sel lokap telah menjumpai beberapa buah telefon bimbit, diikuti penemuan beberapa peket bahan disyaki dadah jenis heroin dan methamphetamine.

“Turut dirampas beberapa barang larangan lain termasuk tembakau, wang tunai danperalatan komunikasi,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu, beliau berkata, satu laporan polis telah dibuat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39a(1) dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Noor Hisam berkata, barang kes berkaitan telah diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk tindakan lanjut.

Seiringan dengan itu, beliau berkata, siasatan dari sudut tatatertib turut dijalankan bagi mengenal pasti kewujudan penglibatan mana-mana pegawai atau anggota, termasuk meneliti aspek penyeliaan dan pematuhan prosedur pengurusan lokap.

“PDRM Kontinjen Perak tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelemahan kawalan, kecuaian penyeliaan atau salah laku yang menjejaskan keselamatan dan integriti pengurusan lokap.

“Semua ketua jabatan, ketua polis daerah serta pegawai penyelia lokap telah diarahkan mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: