"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri warga Indonesia dicekup simpan laras senapang angin

Khirrul Nirwan Bahaudin
am@hmetro.com.my

Bera: Pasangan suami isteri warga Indonesia dicekup selepas disyaki menyimpan laras senapang angin buatan sendiri serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Ladang Sawit Felda Purun, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Op Taring Laras yang dijalankan pasukan Cawangan Risik Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan.

Menurutnya, serbuan dilakukan kira-kira jam 7.50 malam pada 28 April lalu selepas pihak polis menerima maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam bilik tidur rumah itu menemui satu laras senapang angin buatan sendiri berwarna hitam dan coklat yang di sandar di penjuru dinding bilik.

"Pemeriksaan terhadap penghuni rumah mendapati kedua-dua mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah untuk tinggal di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasangan terbabit membabitkan lelaki berusia 43 tahun dan wanita berusia 40 tahun.

Katanya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: