Abdul Rahemang Taiming

Suspek ditahan di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki berusia 57 tahun disyaki mencabul juruwang wanita di sebuah pasar raya di pusat bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau yang menyerbu sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut, kira-kira jam 5.30 petang.
“Polis turut merampas beberapa helai pakaian dipercayai digunakan semasa kejadian,” katanya, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari semalam, wanita berusia 20 tahun yang sedang bertugas didatangi suspek yang berpura-pura bertanya lokasi barangan.
Mangsa kemudian mengikut lelaki itu ke bahagian rak sabun bagi menunjukkan lokasi barang dimaksudkan, namun sebaik mahu beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluk wanita berkenaan sambil mendakwa mangsa adalah anak saudaranya.
“Suspek juga bertindak tidak senonoh dengan menyentuh bahagian tubuh mangsa sebelum wanita itu berjaya melepaskan diri. Mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera tampil membuat laporan polis dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.
Semakan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan