"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid akan jumpa Anwar bincang isu Negeri Sembilan

Bernama 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membincangkan isu berkaitan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pertemuan itu antara lain akan membincangkan tindakan 14 Adun BN yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.

Dia berkata pertemuan dengan Presiden PH itu akan diadakan pada bila-bila masa.

“Saya perlu bertemu (Anwar) dan beliau perlu bertemu saya,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai isu melibatkan 14 Adun itu.

Sementara itu Ahmad Zahid berkata, dia juga akan mengadakan pertemuan dengan kesemua Adun terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara berkenaan.

“Saya mempunyai waktu yang sangat terbuka untuk mereka (Adun BN) dan mereka boleh datang bertemu dengan saya pada bila-bila masa, pada hari ini atau selepas ini,” katanya mengadakan pertemuan dengan editor media di Kuala Lumpur hari ini.

Ahmad Zahid berkata kepimpinan Umno dan BN pada peringkat nasional akan meneliti keputusan yang dibuat oleh Adun terbabit serta menilai implikasi politik daripada tindakan itu.

Hari ini, semua 14 Adun Umno dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang di-Pertua DUN dan Setiausaha DUN.

Dalam pada itu, Aminuddin dalam sidang media petang ini memaklumkan dia dititahkan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri dan kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

Sementara itu ditanya sama ada isu berkenaan akan menjejaskan kestabilan kerajaan perpaduan di peringkat nasional, Ahmad Zahid berkata, segala impak tindakan itu akan diteliti secara mendalam, selain akan dirujuk dan diputuskan apabila dibawa ke Biro Politik dan Majlis Tertinggi Umno kelak.

“Kita harus membezakan sistem adat yang diamalkan di negeri itu dan keputusan yang dibuat oleh Adun terbabit adalah keputusan mereka sendiri.

“Kepimpinan Umno dan BN pada peringkat nasional akan meneliti keputusan tersebut serta implikasi politik yang mungkin timbul daripada pengumuman mereka,” katanya.

Mengenai hasrat dan kesediaan PN untuk bekerjasama dengan Umno untuk menubuhkan kerajaan negeri, Ahmad Zahid menyifatkan dalam gelanggang politik pelbagai pihak akan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk kelangsungan dan kedudukan masing-masing.

Terdahulu, Ahmad Zahid bersama kepimpinan Umno mengadakan pertemuan bersama editor-editor kanan agensi media menjelang program sambutan ulang tahun ke-80 Umno.

- Bernama

Tiada ulasan: