"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Dua ‘mat dadah’ buat MyKad palsu mohon pinjaman bank

MOHD AZLI ADLAN
Mohd. Khairi (tiga dari kanan) memeriksa salah satu MyKad palsu yang disyaki digunakan untuk permohonan pinjaman bank pada sidang akhbar di IPK Terengganu, Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Serbuan dadah di sebuah rumah di Kampung Raja, Besut dekat sini pada Khamis lalu membongkar kegiatan pemalsuan MyKad bagi permohonan pinjaman peribadi menggunakan butiran peribadi palsu melibatkan kerugian kira-kira RM40,000.

Serbuan pada pukul 10.05 malam itu berjaya menahan dua lelaki positif dadah berusia 35 dan 39 tahun termasuk seorang pakar teknologi maklumat (IT) yang disyaki dalang aktiviti penipuan tersebut.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, serbuan terbabit bukan sahaja menemui dua paket berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 7.11 gram malah Mykad palsu dan beberapa peralatan dipercayai digunakan bagi pemalsuan tersebut.

“Siasatan awal percaya dua suspek memanipulasi aplikasi dalam talian untuk mencuri salinan MyKad mangsa sebelum menghasilkan ia sebagai dokumen palsu.

“MyKad palsu dihasilkan itu didapati menggunakan foto individu yang tidak sepadan rekod rasmi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu di sini hari ini.

Mohd. Khairi berkata, MyKad palsu tersebut kemudiannya digunakan untuk membuka akaun bank seterusnya dijadikan sebagai dokumen permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian kepada institusi perbankan dan e-dompet.

Beliau berkata, siasatan awal percaya kedua-dua suspek telah melakukan aktiviti jenayah penipuan tersebut sejak kira-kira 18 bulan lalu.

“Sepanjang tempoh itu, sekurang-kurangnya 12 permohonan pinjaman peribadi secara dalam talian menggunakan MyKad palsu terbabit telah diluluskan pihak bank dan pengendali e-dompet melibatkan kerugian kira-kira RM40,000.

“Salah seorang suspek berusia 39 tahun merupakan lulusan IT dan pernah bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: