SITI NUR ZAWANI
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam meluahkan rasa kecewa apabila krisis politik di Negeri Sembilan mula mencetuskan persepsi negatif terhadap parti itu di mata rakyat.
Bagi beliau, apa yang paling menyedihkan bukan sekadar pergolakan politik yang berlaku, tetapi bagaimana tindakan 14 ADUN BN itu telah membuka ruang kepada tuduhan bahawa Umno tamak kuasa, tidak sabar untuk merampas jawatan Menteri Besar, malah sanggup mengkhianati rakan gabungan sendiri demi kepentingan politik.
Lokman turut bimbang krisis ini bukan sahaja menjejaskan imej Umno di peringkat negeri, malah boleh memberi gambaran seolah-olah kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sedang bergolak dan tidak stabil di peringkat Persekutuan.
“Hari ini amat menyedihkan bila orang kata Umno tamak, tak boleh sabar nak jadi Menteri Besar, dan Umno khianat. Inilah kesannya. Sebab itulah tindakan kita kena bijaksana.
“Tak kira lah apa-apa pun alasan dan masalah, implikasinya, apa yang dibuat ke atas kerajaan Negeri Sembilan boleh membuka kepada kehancuran kerjasama antara BN dan PH di Pusat.
“Ini yang saya punya kebimbangan utama. Walaupun ia berkaitan soal adat, tetapi ianya beri gambaran dan persepsi negatif seolah-olah kerajaan Anwar goyang,” katanya dalam video di Facebook.
Lokman pada masa sama mempersoalkan kenyataan yang mendakwa 14 ADUN BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, namun tiba-tiba Pengerusi BN Negeri Sembilan, Tan Sri Mohamad Hasan pula menafikan beliau terlibat sama.
“Kita kena jujur lah. Kita keluar kenyataan 14 ADUN BN menyokong, tiba-tiba Mat Hasan kata dia tak terlibat. Haaa kan dah. Termenung. Itu masalah. Ini tak sepatutnya berlaku.
“Saya harap 14 ADUN dapat segera menghadap presiden supaya masalah ini dapat diselesaikan sesegera mungkin,” ujarnya.
Lokman turut memberi amaran agar krisis di Negeri Sembilan tidak sampai ke tahap tertubuhnya kerajaan baru bersama PN, sambil mendedahkan bahawa agenda sebenar pihak sana bukan untuk melihat Umno memerintah, tetapi untuk memecahkan perpaduan antara Umno dan PH demi kepentingan mereka sendiri.
“Sebaik-baiknya jangan sampai Negeri Sembilan ini tertubuhnya kerajaan dengan PN. Matlamat mereka bukan nak sokong Jalaludin jadi MB. Tidak. Matlamat mereka adalah untuk memastikan bahawa kerajaan yang ada, Umno dan PH berpecah, dan akhirnya peluang mereka mentadbir negara jadi lebih cerah. Itu je,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan