ISKANDAR SHAH MOHAMED

Tangkap layar rakaman video tular kejadian itu di jalan berdekatan Taman Eng Ann, Klang.
KLANG – Cemas dilihat pemandu e-hailing melalui cermin pandang belakang dipercayai punca seorang penumpang wanita bertindak terjun dari kenderaan itu dalam kejadian berdekatan Taman Eng Ann di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu daripada pemandu lelaki berusia 47 tahun kira-kira pukul 9 pagi tadi.
Katanya, ketika kejadian, pemandu e-hailing itu dalam perjalanan menghantar dua penumpang sebelum salah seorang daripada mereka bertindak membuka pintu belakang lalu terjun dari kenderaan yang sedang bergerak.
“Pemandu itu segera memberhentikan kereta dan mendapati penumpang wanita berusia 25 tahun cedera ringan. Siasatan awal mendapati wanita itu cemas dan bimbang akan keselamatannya selepas pemandu tersebut memerhatinya melalui cermin pandang belakang,” katanya.
Menurut Vijaya, pemandu e-hailing itu kemudian membatalkan pesanan dan penumpang tersebut dihantar ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan.
“Pemandu tersebut membuat laporan polis sebagai perlindungan diri (covering report). Kes disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan. Usaha mengesan penumpang terbabit sedang dilakukan bagi melengkapkan siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan