"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

BN N Sembilan dakwa cukup majoriti mudah tubuh kerajaan negeri

FMT Reporters

PETALING JAYA: Umno dan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan mendakwa mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri susulan sokongan lima Adun Perikatan Nasional (PN).

Dalam kenyataan, 14 Adun BN yang menarik sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Aminuddin Harun berkata mereka mengambil maklum pendirian Adun PN yang menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Menurut mereka, keterbukaan lima wakil rakyat PN itu dilihat sebagai langkah penting bagi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan yang stabil.

“Dalam situasi luar biasa ini, kepentingan rakyat Negeri Sembilan mengatasi segala kepentingan kepartian.

“Kami berjiwa besar untuk mengetepikan perbezaan ideologi demi memastikan sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk dengan segera,” menurut kenyataan itu.

Melalui kerjasama BN-PN, gabungan itu akan menikmati 19 sokongan Adun mengatasi 17 wakil rakyat Pakatan Harapan (PH).

Adun BN turut menegaskan pendirian mereka yang pragmatik dan inklusif dalam usaha menyatukan majoriti Adun bagi membentuk pentadbiran yang kukuh.

Mereka berkata, penyatuan tersebut mampu membawa naratif baharu dalam memacu pembangunan negeri selain mempertahankan adat.

“Melalui kenyataan sokongan daripada lima Adun PN, Umno BN telah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri,” kata mereka.

Kenyataan itu menyusul selepas PN Negeri Sembilan menyatakan kesediaan lima Adunnya untuk bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan baharu.

Perkembangan itu susulan 14 Adun Umno-BN Negeri Sembilan mengumumkan hilang kepercayaan terhadap Aminuddin dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata keputusan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin dibuat susulan krisis didakwa melibatkan institusi perlembagaan negeri yang kini menjadi perhatian umum.

Pada PRN lalu, Pakatan Harapan memenangi 17 kerusi, BN (14) manakala PN memperoleh lima kerusi.

PH dan BN kemudian membentuk kerajaan negeri dengan Aminuddin dilantik sebagai menteri besar.

Krisis adat di Negeri Sembilan mencuri tumpuan susulan tindakan empat Undang Luak menggunakan kuasa mereka untuk menyingkirkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar ketika Undang Sungei Ujong Mubarak Dohak, pula didakwa sudah dipecat.

Susulan krisis itu, persidangan DUN Negeri Sembilan yang sepatutnya berlangsung empat hari bermula hari ini terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh yang belum ditetapkan walaupun istiadat pembukaan disempurnakan Tuanku Muhriz, Khamis lalu.

Tiada ulasan: