"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin PKR gesa pecat exco Selangor dari Umno

B Nantha Kumar

Seorang pemimpin PKR Selangor menggesa Menteri Besar Amirudin Shari memecat exco kerajaan negeri daripada Umno Rizam Ismail.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan Umno mahu menjatuhkan kerajaan pimpinan PKR di Negeri Sembilan.

"Tindakan Umno di negeri jiran itu (Negeri Sembilan) telah mencetuskan rasa kurang senang dan kebimbangan dalam kalangan akar umbi PKR.

"Sudahlah Umno tikam kita di Negeri Sembilan. Saya harap ia tidak berulang di Selangor.

"Untuk itu, kita perlu pertimbang kedudukan Umno di kerajaan negeri Selangor. Kalau boleh gantikan wakil Umno di kerajaan negeri dengan pemimpin lain," kata Pengarah Pilihan Raya PKR Selangor Sathia Prakash Nadarajan kepada Malaysiakini.

Portal ini telah menghubungi Rizam dan Pejabat Menteri Besar dan sedang menunggu maklum balas mereka.

Semalam, kesemua 14 anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno menarik sokongan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun. 

Langkah itu disokong oleh lima Adun Perikatan Nasional (PN) yang sedia bekerjasama membentuk kerajaan dengan BN.

Jumlah itu cukup untuk membentuk kerajaan baru dengan majoriti mudah 19 kerusi. DUN Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi.

Aminuddin semalam berkata dia telah mengadap Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir tetapi dititahkan terus berkhidmat seperti biasa sehingga wujud “kejelasan muktamad”.

Bulan madu kini teruji

Sathia Prakash berkata langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi memastikan kestabilan di Selangor tidak terjejas oleh tindakan luar jangka rakan gabungan.

Katanya, Amirudin harus menilai semula kerjasama tersebut agar senario di Negeri Sembilan tidak “berjangkit” ke Selangor, sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Pada pilihan raya negeri (PRN) 2023, PH menang 32 kerusi dan Umno dua kerusi. PN menang 22 kerusi, sekali gus membatalkan majoriti dua pertiga PH sejak 2008.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Meskipun Umno hanya memenangi dua kerusi melalui Rizam (Sungai Air Tawar) dan Johan Abd Aziz (Dusun Tua), mereka diberikan kepercayaan dalam pentadbiran negeri.

Rizam memegang portfolio kemajuan desa dan luar bandar, kemampanan kampung tradisi, perpaduan nasional, hal ehwal pengguna dan koperasi.

Sathia Prakash berkata walaupun PH mempunyai majoriti mudah dengan 32 kerusi tanpa sokongan Umno, kehadiran Umno dalam kerajaan negeri sebelum ini dilihat sebagai simbolik perpaduan Kerajaan Madani.

"Bagaimanapun, dengan ketegangan terbaru di Negeri Sembilan, saya percaya 'bulan madu' antara kedua-dua parti itu dilihat akan diuji di Selangor," katanya.

Tiada ulasan: