"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: Umno…apa kata kamu tinggalkan kerajaan perpaduan?

Mohsin Abdullah

Umno yang bertindak tarik sokongan ke atas menteri besar Negeri Sembilan sekali gus Umno yang mengancam kerajaan negeri ala 'Langkah Sheraton'.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sudah berlaku. Yang saya nak tahu bagaimana ia boleh berlaku atau dibenarkan berlaku ‘in the first place’.

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Zambry Abdul Kadir, dipetik portal Malaymail semalam berkata beliau akan merujuk kepimpinan tertinggi gabungan berikutan tindakan 14 Adun Umno/BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin Harun, menteri besar Negeri Sembilan.

Selepas itu baru akan keluarkan kenyataan. Adakah ini bererti beliau ‘was caught off guard’ oleh 14 Adun berkenaan? Lantas terpaksa merujuk pucuk pimpinan tertinggi untuk dapatkan penjelasan atau untuk ambil langkah susulan?

Adakah Pengerusi BN Zahid Hamidi tidak tahu apa yang berlaku akan berlaku dan oleh itu ia terus berlaku? Zahid presiden Umno. Empat belas Adun Negeri Sembilan itu orang Umno. Tidakkah mereka memberitahu Zahid terlebih dahulu akan rancangan atau tindakan yang mereka akan ambil?

Tak ada ‘discuss’ dengan presiden ke? Tahulah beliau timbalan perdana menteri dan sangat sibuk. Tetapi takkan tak dapat cari masa untuk menemui beliau?

Jika ada jumpa dan bincang apa kata presiden? Adakah beliau merestui? Atau tidak restu tetapi 14 Adun teruskan juga hasrat? Ingkari presiden ke?

Setahu saya jika ingkar ada tindakan disiplin yang parti akan diambil? Tak pula kedengaran tindakan akan diambil ke atas 14 Adun itu. Atau mungkin saya seorang je yang tak dengar.

Bagaimana pula dengan Mohamad Hasan? Beliau merupakan ketua Bahagian Umno Rembau (Negeri Sembilan), ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno dan timbalan presiden Umno. Tok Mat anak jati Negeri Sembilan.

Sebagai orang Umno ‘Nismilan’ tentu beliau ‘kenai’ Adun berkenaan. Kalau tak ‘semuo’ pun tentu ramai. Ada tidak mereka membawa hasrat tarik sokongan daripada menteri besar Negeri Sembilan (orang PKR) dan bincang dengan Tok Mat?

Memanglah beliau menteri luar dan tengah sibuk mengikuti perkembangan perang Asia Barat. Tetapi rasanya boleh selit jadualnya untuk bincang sekejap hal poltik. Rasa saya begitulah.

Semasa artikel ini ditulis belum ada penjelasan daripada pucuk pimpinan tertinggi Umno. Sama ada Zahid dan Mohamad tahu awal atau memang tidak tahu rancangan mereka, restu atau tidak hakikatnya 14 Adun terbabit sudah bertindak. Mereka orang Umno. Bukan setakat Umno Negeri Sembilan.

Apabila mereka mengorak langkah ia dilihat sebagai Umno yang mengorak langkah. Umno yang bertindak tarik sokongan ke atas menteri besar. Sekali gus Umno yang mengancam kerajaan negeri ala ‘Langkah Sheraton’.

‘The situation is very fluid’. Macam-macam boleh berlaku. Namun, pada hemat saya apabila Adun Umno lakukan apa yang mereka lakukan mereka tahu kesannya – ‘its consequences’. Mereka tahu tindakan mereka boleh menumbangkan kerajaan, dan mereka tersukan juga hasrat.

Oleh itu, bolehkah dirumuskan memang ada niat menumbangkan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan?

“Umno NS guna Undang untuk pecat Yang di-Pertuan Besar NS. Targetnya juga hendak jawatan MB. Bila dah makan umpan pancing maka disentapnya joran longlailah PH nyawa2 ikan. Itulah *****nya Umno.” Itu kata seorang bekas orang Umno asal Negeri Sembilan yang masih mengikuti perkembangaan politik tanah air.

Berdasarkan apa yang telah dilakukan saya berpendapat elok Umno/BN keluar sahaja daripada kerajaan perpaduan. Bukan sahaja peringkat negeri tetapi juga peringkat persekutuan, kerana Umno ibarat sudah menikam belakang Pakatan Harapan.

Lantas pada PRU mendatang Umno/BN moleklah bergerak solo (ada kawan kata perkembangan di Negeri Sembilan akan mendorong PMX adakan ‘snap election’ Wallahuaklam). Apa lagi jika PRN Negeri Sembilan diadakan dalam masa terdekat.

‘After all’ ada dalam kalangan Umno yang yakin Umno sudah pulih daripada kekecewaan PRU14 dan sekarang sudah cukup kuat untuk takluk Malaysia.

Jika tidak mahu solo Umno/BN boleh menghidupkan semula Muafakat Nasional bersama PAS. Ramai juga ahli Umno minat bermesra semula dengan PAS. (Di Negeri Sembilan dilaporkan lima Adun Perikatan Nasional yakni tiga PAS dan dua Bersatu sedia kerjasama dengan Adun Umno/BN ‘demi kestabilan politik’ (baca demi tubuh kerajaan?)

Semalam, PAS sudah beri bayangan terdapat penjajaran semula parti politik di Negeri Sembilan di tengah penarikan balik sokongan Umno terhadap MB negeri itu.

“Tahniah Umno Negeri Sembilan memulakan langkah penyatuan ummah,” kata Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari di media sosial tanpa huraian lanjut. Rasanya ramai boleh baca apa yang tersurat dan tersirat.

Jelas ‘its not only about’ Negeri Sembilan berdasarkan kata-kata itu. Lantas bagi saya ‘all the more reason’ Umno/BN keluarlah daripada kerajaan perpaduan.

‘Timing juga perfect for’ Umno. PKR sekarang dilanda krisis dalaman. Diserang oleh ahli sendiri daripada dalam. Tak perlulah saya huraikan kerana semua sudah maklum apa yang sedang berlaku dalam PKR. Kesimpulannya parti itu huru-hara dan dalam keadaan lemah meskipun presidennya memegang jawatan perdana menteri.

DAP masih kuat dalam PH tetapi diserang saban hari oleh banyak kumpulan terpaling Melayu termasuk Umno yang menjadikan pelbagai perkara sebagai isu berkait perkauman. Amanah? Masih tidak menunjukkan prestasi diharapakan PH.

Namun, ‘its not plain sailing’ juga untuk Umno. Jika bermuafakat nasional sekali lagi dengan PAS ada 1,001 masalah akan timbul. Mereka tahu ini maka tidak perlu saya perincikan.

Kebanggaan ada kira-kira 6,000 ahli baharu termasuk bekas ahli yang menyertai Umno menerusi inisiatif ‘Rumah Bangsa’ masih belum boleh menjamin kejayaan. Kata seorang bekas aktivis Umno ‘kemasukan 6,000 ahli Umno ini adalah satu aset jentera bukannya jaminan kemenangan.

Ia membantu dari segi operasi dan moral tetapi faktor penentu tetap terletak pada keupayaan BN untuk memenangi hati pengundi di luar kelompok ahli tegar mereka.

“Berbalik apa yang telah dan sedang laku. Bersatu khianati PAS di Perlis. Umno khianati PH di Negeri Sembilan. DNA Bersatu dan Umno/BN rakyat boleh nilai sendiri,” kata seorang pemerhati politik. Beliau pernah menganggotai Umno, berkhidmat untuk pemimpin tinggi parti dan juga orang ‘Nogori’.

Dan berkata lagi beliau: “Sejarah politik negara membuktikan bahawa landskap ini sangat cair. Rakyat mempunyai ‘rekod prestasi’ setiap parti untuk dinilai – sama ada naratif perjuangan yang dibawa selari dengan tindakan sebenar di lapangan atau sebaliknya.” Pada saya betul kata beliau.

Tiada ulasan: