"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hanipa Maidin: 'Seleweng zakat RM230 juta' - Mungkinkah Amanah dihukum PRU16?

Mohamed Hanipa Maidin

Baru-baru ini ketika saya solat Jumaat di sebuah masjid di Selangor, khatib yang membaca khutbah memulakan khutbah beliau dengan menyebut isu laporan media berkaitan tuduhan penyelewengan wang zakat anggaran jumlahnya sekitar RM230 juta yang dikatakan membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Dalam pada itu media juga melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata isu dakwaan penyelewengan itu setakat ini tidak membabitkan mana-mana institusi zakat di negara ini.

Menurut SPRM, NGO ini menerima dana sumbangan daripada pelbagai pihak dan sumber termasuklah komisen yang diperolehi daripada kutipan tertentu untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Sebahagian sumbangan yang didakwa diseleweng itu dipercayai termasuklah kutipan yang seharusnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri.

Secara umum, saya lihat rakyat di bawah agak marah. Tidak pelik. Isu ini bukan setakat tuduhan penyelewengan wang jutaan ringgi tetapi ia melibatkan tuduhan penyelewengan wang zakat.

Maka isu ini amat dekat dengan orang Islam khususnya. Jika tuduhan penyelewengan wang berjuta ringgit sahaja sudah sedia sensitif sudah tentu ia lebih sensitif lagi apabila melibatkan wang zakat.

Apatah lagi semua tahu wang zakat sepatutnya digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan yang antara asnafnya adalah membantu golongan fakir miskin.

Di media sosial yang kita tahu spekulasi mendahului fakta dan keterangan didedahkan bahawa wang yang dikatakan diselewengkan itu digunakan untuk membeli kereta kereta mewah dan hartanah berjutaan ringgit.

Walaupun terlalu awal untuk mengesahkan kesahihan info tersebut namun foto-foto yang didedahkan, bagi saya, sedikit sebanyak boleh mempengaruhi proses membuat keputusan para pengundi.

Dalam konteks politik parti Amanah Negara dan NGO Islam Ikram dilihat terkesan dengan isu ini. Zakat, Ikram dan Amanah berdiri atas “adjective” (kata sifat) yang sama - Islam. Oleh itu musuh politik Amanah amat mudah berkempen isu ini kepada pengundi Melayu/ Islam.

Kita tahu Ikram sendiri telah mengambil tindakan dalaman ke atas para ahlinya yang dituduh terlibat.

Meskipun Ikram dan parti Amanah adalah dua entiti yang berbeza namun agak sukar untuk parti Amanah melarikan diri daripada isu tersebut sekuat dan serancak mana pun parti itu mungkin cuba menepisnya termasuk dengan membuat laporan polis.

Bagi saya ia tidak pelik kerana agak ramai ahli NGO Ikram berada dalam parti Amanah. Beberapa orang pemimpin Amanah sama ada di peringkat pusat, negeri dan kawasan adalah mereka yang ada hubungan yang rapat dengan Ikram. Ini fakta dan ia sukar dinafikan oleh parti Amanah.

Untuk berlaku adil kepada Ikram dan parti Amanah - meskipun telah berlaku penangkapan beberapa individu dalam kes ini termasuk perintah reman telah dikeluarkan ke atas individu individu tersebut - adalah tidak adil untuk sesiapa pun dengan laju menjatuhkan hukuman bersalah kepada mereka atau institusi yang mereka wakili kerana mereka yang ditahan dan direman itu berhak dianggap tidak bersalah sehingga mahkamah menghukum mereka bersalah.

Tetapi, itu kata undang-undang. Politik pula berkata lain. Dalam konteks politik rakyat atau pengundi mungkin menghukum mengikut piawaian yang agak berbeza.

Mereka tidak begitu berminat dengan slogan “anggapan tidak bersalah” (“presumption of innocence”). Majoriti daripada mereka menghukum berdasarkan laporan media. Maka dalam konteks politik "the trial by media" lebih kuat pengaruh dan kesannya kepada pengundi.

Anda boleh sahaja boleh katakan analisa saya di atas adalah tidak betul. Sejujurnya saya juga berharap saya salah dan khilaf.

Namun, cuba lihat Najib Razak dan isu 1MDB. Rakyat menolak Najib dan BN meskipun pada masa itu Najib belum didakwa dengan kes 1MDB.

Tidakkah rakyat menghukum Najib melalui foto-foto kemewahan yang Najib dan Rosmah nikmati dari 1MDB?

MOHAMED HANIPA MAIDIN mantan timbalan menteri undang-undang.

Tiada ulasan: