Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

ANGGOTA penguat kuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menahan sekumpulan warga asing dari Pakistan yang tinggal di sebuah pangsapuri dalam satu operasi di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Kuala Lumpur: "Bagus buat operasi selalu, bersihkan semua. Dah ramai sangat dia orang ini."
Itu kata Mohamad Syaril, 38, penduduk di Flat Taman Pantai Dalam, di sini, selepas sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyerbu kawasan perumahan lima tingkat itu awal pagi, hari ini.
Dia yang sudah menetap di situ sejak tahun 1999 berkata, kawasan flat yang merangkumi dua blok itu mula dibanjiri warga asing terutama Pakistan sejak kira-kira lima tahun lalu.
"Ayah saya beli rumah ini hampir 30 tahun dan saya duduk di sini sejak itu. Dulu memang boleh kata semua orang kita, tetapi sejak lima tahun kebelakangan ini ramai warga asing.
"Mereka ramai sangat. Rasa macam dia orang lagi ramai daripada kita. Kita yang orang Malaysia ini jadi tak selesa tambah-tambah dengan perangai pengotor mereka.
"Buang sampah sesuka hati, ada sekali saya tegur seorang warga asing sebab dia selamba meludah di koridor di depan mata saya," katanya kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi, di sini, hari ini.
Menurutnya, secara peribadi dia tidak rasa terancam dengan lambakan warga asing terbabit cuma tidak selesa apabila golongan itu lebih ramai daripada orang tempatan.
Katanya, ramai pemilik asal kediaman di situ sudah tua, ada yang meninggal dunia dan waris mereka tidak lagi tinggal di kawasan itu sebaliknya menyewakan kepada warga asing terbabit.
Turut sependapat, Amir, 30, berkata, dia dan isterinya menyokong tindakan JIM Kuala Lumpur menjalankan operasi penguat kuasaan di kawasan flat itu.
"Mereka memang ramai, malah boleh buka kedai (berhampiran flat), boleh berniaga dan kedai-kedai ini jadi tempat mereka berkumpul.
"Tetapi mereka tidak cari pasal dengan kitalah (tempatan) setakat saya duduk di sini. Cuma masalah pengotor saja. Lain-lain bergaduh, mabuk ke mereka tak ada, setahu sayalah," katanya.
Sementara itu, jurucakap JIM Kuala Lumpur berkata, 46 individu ditahan terdiri daripada 29 lelaki Pakistan, lelaki Indonesia (9), wanita Indonesia (7) dan seorang lelaki warga India.
Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi bermula 12.10 tengah malam itu mendapati ada segelintir pendatang asing tanpa izin (PATI) bertindak nekad melarikan diri dengan keluar melalui bahagian balkoni.
Sebuah kediaman yang didiami empat warga Indonesia cuba menghalang kemasukan pegawai operasi dengan cara meletakkan papan dan barangan di bahagian belakang pintu dan mereka ditemui bersembunyi di beranda sejurus pintu dipecahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan