Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Afiqah Abdul Aziz - FOTO Tular
Kuala Lumpur: Seorang wanita mendakwa mendengar jeritan meminta tolong daripada adik bongsunya sebelumnya remaja itu dilaporkan hilang dari kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Malaysia, Desa Petaling, di sini, kelmarin.
Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Aida berkata, adiknya, Afiqah Abdul Aziz, 15, anak bongsu daripada enam beradik keluar dari rumah pada 6 petang hari kejadian.
"Kami jumpa skaf dan anak tudungnya di hadapan lif, tetapi adik tidak ada di situ. Sebelum itu saya terdengar jeritan meminta tolong.
"Jeritan meminta tolong dalam keadaan menangis, saya dengar dua kali, saya pasti itu memang dia," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja perempuan itu.
"Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk menyemak rakaman kamera litar tertutup di dalam lif seliaan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengenal pasti arah pergerakan mangsa.
"Siasatan dijalankan di bawah kes Orang Hilang (OH) ," katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu kehilangan Afiqah tular di media sosial selepas beberapa keping gambar dimuat naik oleh seorang pengguna di Thread meminta bantuan orang ramai untuk mengesan keberadaan remaja 15 tahun itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan