Alias Abd Rani

Pemandu lori dipenjara sembilan tahun dan lima sebatan kerana merogol adik ipar hingga hamil.- Foto NSTP / Alias Abd Rani
MUAR: Seorang pemandu lori dipenjara sembilan tahun dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol adik ipar perempuannya dua tahun lalu hingga melahirkan anak.
Tertuduh berusia 38 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bapa sembilan anak didakwa merogol adik iparnya yang berusia 16 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Batu Pahat, antara jam 12.30 tengah malam pada 27 hingga 28 Julai 2024.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa merogol dan melakukan serangan seksual terhadap adik ipar perempuannya ketika isterinya tiada di rumah.
Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila mangsa tidak datang haid dan mengalami sakit perut.
Ibu mangsa kemudian membawanya ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mengesahkan remaja terbabit hamil dua bulan ketika itu.
Susulan itu, mangsa yang ditemani ibunya membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan pada 22 September 2024 bagi membantu siasatan.
Mangsa kemudian melahirkan seorang bayi lelaki pada tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh diwakili peguam Syafie Naim dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Selain hukuman penjara, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan serta pengawasan polis selama setahun sebaik dibebaskan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan